Isu Bekalan Air Di DUN Chini Dalam Fasa Penyelesaian – Calon BN

PEKAN, 22 Jun – Lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Gugusan Chini termasuk kampung-kampung tradisional, bakal mendapat manfaat daripada projek pembinaan kolam takungan hiliran (ORS) yang sedang diusahakan kerajaan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain berkata masalah bekalan air di kawasan berkenaan sedang diselesaikan melalui projek ORS di muka sauk Sungai Mentiga, Pekan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui semasa melakukan tinjauan mesra bertemu pengundi di sekitar Bandar Dara Chini hari ini.

Kerja-kerja pembinaan Projek ORS Loji Rawatan Air (LRA) Chini itu akan mula dibina September ini setelah tergendala berikutan pertukaran kerajaan, meskipun peruntukan sebanyak RM18 juta untuk pembinaannya, telah diluluskan sejak 2017.

Sementara itu, Mohd Sharim menyambut baik penyertaan dua calon Bebas dalam PRK DUN Chini kerana ia adalah perkara yang diterima dalam sebuah negara demokrasi.

Katanya setiap calon pasti mempunyai cara tersendiri untuk berkempen bagi menambat hati pengundi, dengan beliau akan terus melihat kepada kepentingan pengundi sebagai fokus kempennya.

“Bagi saya selaku calon BN, pastinya saya akan mengikut peringkat tertinggi parti dan kita di peringkat bawah akan bekerja mengikut aturan yang ditetapkan.

“Saya akan teruskan usaha bekas Ahli DUN Chini Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun dan pastinya pengalaman saya bersama arwah, yang banyak memperjuangkan nasib warga Felda, kampung tradisi dan orang asli, akan saya dijadikan panduan,” katanya.

Anak peneroka generasi kedua Felda itu berkata beliau akan memberi perhatian terhadap isu-isu kemasyarakatan sepanjang tempoh kempen PRK ini.

“Untuk DUN Chini kita melihat kapasiti masyarakat makin bertambah dan generasi hadapan akan bertambah. Jadi dari segi pembangunan, perumahan dan ekonomi yang perlu diberi perhatian untuk generasi akan datang,” katanya.

Pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini dengan dua mukim iaitu Penyor dan Lepar mempunyai 20,990 pengundi, yang kebanyakannya terbabit dalam sektor perladangan.

DUN Chini, antara empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.