Banyak Norma Baharu Parti Lalui, Jentera BN Harus Pragmatik – Annuar

PEKAN, 22 Jun- Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata banyak perubahan yang telah berlaku kepada parti dan ia menuntut kepada pengubahsuaian.

Ia katanya bukan merupakan satu masalah tetapi sebaliknya sebagai satu pengalaman yang baharu dan menuntut jentera parti lebih pragmatik.

“Segala susunan, gerak kerja dan kempen harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Ini menuntut kita membuat sedikit pengubahsuaian tetapi itu tidak dianggap sesuatu perkara yang dianggap sebagai masalah, ia dianggapkan sebagai satu pengalaman dan situasi baru yang tidak kurang menariknya.

“Saya menganggap ini satu lagi perjalanan yang akan membiasakan jentera BN untuk bertindak dalam keadaan-keadaan yang berbeza. Ini sangat penting bagi jentera pilihan raya kerana kita tidak boleh ‘stereotype’.

“Kita mesti pragmatik dan mesti menunjukkan bahawa jentera pilihan raya BN itu diuji, pernah jadi kerajaan, pembangkang, berada dalam keadaan tekanan-tekanan dan sekarang ini kembali sebagai parti yang turut mempertahankan kerajaan yang kita dokong bersama,” jelasnya di segmen Kabor Chini: Muafakat Demi Kestabilan baru-baru ini yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Secara tidak langsung juga ujarnya, ia akan melengkapkan lagi jentera BN yang mampu menjadi teras dan tonggak kepada kerajaan.

Mengulas mengenai isu jika tiada pertandingan di PRK DUN Chini, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata jika dari satu sudut yang lain parti akan terlepas peluang untuk membuat kupasan-kupasan senario politik yang masih perlu dinilai oleh rakyat dan masyarakat menjurus ke arah pilihan raya umum yang akan datang.

“Saya bersyukur kita boleh memenangi pilihan raya ini dengan suatu proses yang tertentu, suasana demokrasi dihidupkan, jentera pilihan raya parti kita akan bekerja dalam suasana yang baru.

“Barisan Nasional, Muafakat Nasional sebelum ini dan sekarang permuafakatan Barisan Nasional, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional dan juga kita baru menjadi kerajaan 100 hari dan berpeluang untuk menyampaikan rancangan-rancangan kita.

“Pilihan raya ini satu peluang keemasan dan pertandingan ini adalah dilihat sebagai satu pertandingan yang sihat tanpa perlu untuk kita mempertikaikan soal calon-calon lain,” ujarnya.

Tambahnya Annuar lagi, pendekatan parti juga harus lebih fokus dan tidak perlu banyak mencari salah orang lain, tidak perlu menoleh ke belakang ataupun sibuk dengan masalah-masalah pihak yang menentang.

“Tetapi kita boleh mempamerkan satu kematangan politik yang berbeda dengan Pakatan Harapan (PH) iaitu sebuah kerajaan dan parti yang memberi fokus kepada permasalahan rakyat, memperkenalkan pendekatan-pendekatan dan senario-senario pentadbiran yang berbeza.

“Sekarang ini rakyat melihat sesuatu yang berlainan yang bukan lagi politik tuduh-menuduh, politik janji, politik mempersendakan rakyat, politik mementingkan individu. Dah terlalu lama politik Malaysia ini berkisar sekitar individu-individu yang mewujudkan perjuangan atas individu,” tegas Ahli Parlimen Ketereh itu.

Kerajaan sekarang ini katanya berpeluang menunjukkan perjuangan agenda untuk rakyat, keprihatinan untuk rakyat dan memainkan peranan memberikan khidmat kepada rakyat. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.