Penuh Perbezaan, Norma Baharu Di Hari Penamaan Calon PRK DUN Chini

PEKAN, 20 Jun – Tiada perarakan besar-besaran, tiada ketumbukan penyokong mengiringi pergerakan calon ke pusat penamaan calon dan tiada jentera parti yang memeriahkan suasana di kawasan berhampiran di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ini.

Bukan kerana parti khususnya yang bertanding ketandusan kekuatan penyokong, tetapi itulah norma baharu yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 yang masih tidak lagi diputuskan rantaiannya di negara ini.

Begitu juga petugas media, walaupun telah mempunyai pas media yang dibekalkan oleh SPR, hanya media dari RTM dan Bernama sahaja dibenarkan membuat liputan di dalam pusat penamaan.

Manakala setiap kehadiran individu ke dalam pusat penamaan, SPR dan pihak berkuasa akan mengambil rekod serta melalui proses sanitasi.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain bersama pencadang dan penyokong dilihat memasuki pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi.

Atas semangat Muafakat Nasional, pencalonan Mohd Sharim disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Setakat ini, selain calon BN, turut memasuki pusat penamaan calon dipercayai dua calon bebas.

SPR telah menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam Dewan Utama, IKBN Pekan bagi mengemukakan kertas penamaan calon kepada pegawai pengurus pilihan raya bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi.

Manakala di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paloh Hinai, sejak awal jam 7.30 pagi para pemimpin dan penyokong BN, rakan Muafakat Nasional seperti PAS dan ‘friends of BN’ hadir bagi menunjukkan sokongan penuh kepada calon BN bagi menghadapi PRK DUN Chini ini.

DUN Chini yang merupakan satu daripada empat DUN dalam kawasan Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Terbaharu, SPR dalam satu kenyataan telah meminda Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti kempen PRK Chini selaras dengan keputusan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran PKP yang diumum pada 16 Jun.

Antara kelonggaran adalah seperti berkempen secara berceramah dengan had tertentu dari segi jumlah kehadiran, tinjauan mesra atau ‘walkabout’ dan kempen dari rumah ke rumah.

DUN Chini mempunyai pengundi seramai 20,990 orang. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.