Mohd Sharim Tekad Pegang Amanah, Teruskan Perjuangan Mentor


PEKAN, 20 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain tekad memberi khidmat yang terbaik di kawasan tersebut selain meneruskan legasi perjuangan mentornya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Bersyukur atas kelancaran proses penamaan calon, Mohd Sharim berkata kepercayaan yang diberikan oleh parti merupakan satu amanah kepadanya.

“Alhamdulillah dan hari ini saya selaku calon Barisan Nasional N.23 Chini memegang satu amanah dan integriti untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun iaitu mentor saya dan juga bersama-sama rakan Mufakat Nasional dan juga Perikatan Nasional.

“InsyaAllah dari segi kerja-kerja untuk jentera di peringkat DUN Chini, akan membuat kerja-kerja kempen mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya yang jelas kelihatan sebak apabila berbicara mengenai Allahyarham Abu Bakar yang digelar sebagai mentornya.

Mohd Sharim berkata demikian kepada media selepas selesai proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.

Jelas anak muda yang aktif dalam pergerakan belia itu juga tidak menyangka apabila dipilih sebagai calon BN.

“Pertamanya kerana saya tidak menyangka diri saya bukan insan yang sempurna untuk diletakkan tetapi apabila saya diberi amanah ataupun kepercayaan, pastinya saya mengambil tanggungjawab ini dengan yang terbaik untuk saya, anak peneroka generasi kedua sebagai wakil untuk masyarakat Felda, kampung tradisi dan juga Orang Asli. Itu saya akan bawa,” katanya lagi.

Oleh kerana itulah tambahnya, matlamat utama kini adalah untuk memperhalusi perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat serta menyelesaikannya dan memohon kepercayaan masyarakat diberi kepadanya.

PRK DUN Chini yang secara rasminya bermula hari ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN diwakili Mohd Sharim dengan dua orang calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Mohd Sharim, yang juga Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, menjadi individu kedua mengemukakan borang pencalonan pada 9.01 pagi bagi mempertahankan kerusi DUN BN itu.

Atas semangat Muafakat Nasional, pencalonan Mohd Sharim disokong oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai manakala pengundian awal pada 30 Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.