Kelonggaran SOP Berkempen, Jentera Penuh Semangat Dan Semakin Mantap – SUA

 

PEKAN, 20 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyambut baik kelonggaran yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Jaya (SPR) sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat menyemarakkan semangat jentera untuk berkempen dengan lebih gigih sepanjang tempoh kempen dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibenarkan.

“Kita akan terus memantapkan jentera dan kita tahu bahawa ada kelonggaran SOP yang diberikan oleh SPR.

“Antara kelonggaran yang diberikan oleh SPR iaitu boleh pergi rumah ke rumah seramai tiga orang, dibolehkan mengadakan ceramah 250 orang di kawasan tertutup.

“Saya kira itu keputusan yang bijak dibuat oleh SPR, kalau tidak…tiada apa pun PRK ini. Jadi ini satu kelonggaran dan kelonggaran itu kita akan gunakan untuk memantapkan jentera,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Taman Selasih, Paloh Inai hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan dan memberi kelonggaran kepada calon dan parti untuk berkempen seperti aktiviti ceramah, tinjauan mesra atau walkabout dan kempen dari rumah ke rumah.

Pindaan SOP bagi aktiviti kempen PRK Chini dibuat selaras dengan keputusan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum pada 16 Jun.

Kempen PRK DUN Chini secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) yang menampilkan calonnya, Mohd Sharim Md Zain dengan dua orang calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.- UMNO Online

Oleh: Amin Adnan 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.