Bantuan Prihatin Elektrik: Tanda Penghargaan Rakyat Sebagai Barisan Penting Lawan COVID-19
KUALA LUMPUR, 20 Jun – UMNO menyambut baik dan amat berterima kasih kepada kerajaan atas peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Elektrik yang memberi kelegaan kepada rakyat terutama empat juta atau 55.2 peratus pengguna domestik yang menikmati bekalan elektrik percuma bermula April hingga Jun ini, kata Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan.
Ujarnya, mendengar suara rakyat juga menjadi bukti prestasi kerajaan ditahap terbaik dalam membantu serta meringankan beban rakyat yang sememangnya amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan (PKPP).
“Setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pengerusi TNB Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Datuk Azian Osman mendengar keluhan akar umbi dan bertindak mengutamakan kepentingan rakyat.
“Kita turut menyifatkan pengumuman ini sebagai tanda penghargaan kepada rakyat yang juga boleh kita angkat sebagai barisan penting dalam membantu kerajaan memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya, pengumuman ini bukan sahaja dinikmati 4 juta pengguna kategori bawah 300KW malah turut dirasai pengguna domestik melebihi 300KW yang akan diberikan rebat atau disubsidi sebanyak RM231 bagi jumlah penggunaan sepanjang April, Mei dan Jun.
“Malah turut tidak dilupakan pengguna domestik antara 601 hingga 900KW akan memperolehi diskaun tambahan sebanyak 10 peratus.
“Inilah tanda kerajaan prihatin yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online