Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan Bukti Keprihatinan Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syabas kepada Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr. Samsul Anuar Nasarah dan juga Pengerusi TNB serta semua pihak yang telah berusaha dan bertungkus-lumus mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan masalah kenaikan bil elektrik mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pengumuman ini adalah bukti keprihatinan kerajaan yang sentiasa peka dengan rintihan dan keperitan rakyat yang terjejas sumber kewangan akibat pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah, syukur dan terima kasih atas pengumuman Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan (BPET) oleh Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr. Samsul Anuar Nasarah sebentar tadi. Pastinya pengumuman ini dapat melegakan keresahan rakyat yang terkesan dengan isu yang lalu,” katanya menerusi kenyataan dalam facebooknya.

Jelasnya, jumlah keseluruhan yang terlibat dalam BPET ini adalah sebanyak RM942 juta yang melibatkan 7.66 juta pengguna.

“Jika ada mereka yang sudah membayar bil bagi tempoh PKP ini, jangan risau, bayaran anda akan dikreditkan semula pada bil bulan Julai kelak. Dengan lebihan bayaran yang telah dibuat, dapatlah menampung serba sedikit perbelanjaan bagi bulan hadapan.”

Ujarnya lagi, BPET tiada kaitan dengan PRK Chini kerana perbincangan dan usaha untuk menyelesaikan masalah ini telah berlaku lebih awal kerana kerajaan yang prihatin sentiasa meletakkan kemaslahatan dan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.

“Kepada anggota kabinet, terutamanya Menteri daripada Barisan Nasional (BN), teruskan bekerja membantu rakyat, peka dengan masalah mereka, hulurkan bantuan dengan semampunya.

“Abaikan segala omongan dan persepsi negatif yang dilontarkan bagi melemahkan semangat kalian untuk bekerja demi kesejahteraan rakyat dan negara, kekal fokus. Keep the good work!” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.