Bantuan Prihatin Elektrik Diharap Beri Kelegaan, Terima Kasih Pada Semua Pihak – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid amat berharap tambahan peruntukan sebanyak RM942 juta dalam Bantuan Prihatin Elektrik memberi kelegaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan polemik ini.

Katanya, pengumuman sebentar tadi juga membuktikan komitmen di TNB untuk terus membantu rakyat dalam apa jua keadaan dan tetap komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Rentetan daripada pengumuman Bantuan Prihatin Elektrik yang dibuat oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasarah sebentar tadi, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang begitu prihatin terhadap polemik berkaitan bil elektrik yang melanda negara ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga yang telah sudi duduk dengan kami di TNB untuk sama-sama menyelesaikan polemik ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Dilaporkan, sebentar tadi Dr Shamsul Anuar telah mengumumkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan yang akan memberi manfaat kepada seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, untuk menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.