PRK DUN Chini: Satu Semangat, Suntikan Ke Arah PRU – Shahril


PEKAN, 19 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini amat bermakna bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia cukup penting dan gambaran kejayaan awal bagi menghadapi peperangan yang sebenar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PRK ini bukan hanya untuk PRK Chini sahaja, tetapi memberi gambaran pada masa akan datang yang mungkin kita bersedia PRU bila-bila masa.

“Chini ini penting sebagai isyarat pertama ataupun kejayaan awal yang bakal menanti untuk UMNO, BN dan rakan-rakan kita supaya ia memberi satu semangat dan juga suntikan baru ke arah peperangan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online setelah bertemu dengan jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Chini 5, di sini, petang tadi.

Apabila ditanya mengenai pemilihan Mohd Shahrim Md Zain sebagai calon BN bagi PRK DUN Chini, Shahril menjelaskan ia satu keputusan yang tepat dibuat oleh parti berdasarkan kehendak rakyat.

“Kita melihat bahawanya ada satu pemilihan calon yang cukup tepat sekali disebabkan latar belakang beliau seorang yang relatifnya muda. Mempunyai latar belakang Majlis Belia Felda yang kukuh, Pengerusi Majlis Belia Kuantan…ada jawatan di Majlis Belia Malaysia dan memang asal sini, ada jawatan dalam UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda Cawangan.

“Saya nampak lengkap dari segi profilnya dan sesuai dengan kehendak citarasa masyarakat di Chini walaupun kita dilihat sebagai ‘favourite’ tetapi ternyata kepimpinan UMNO Pusat, Negeri dan bahagian ‘cakna’ dengan hasrat rakyat dan masyarakat.

“Kita tak ambil mudah dari segi pemilihan calon tersebut, walaupun ramai yang layak. Alhamdulillah saya melihat semangat untuk membantu calon yang dipilih itu sungguh tinggi,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.