Pertuduhan Gagal Bayar Cukai: Saya Yakin Tidak Bersalah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Jun – “Saya sudah bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan kerana saya yakin saya tidak bersalah,” tegas Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas beliau, pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berasas dan dirinya hanya mangsa kerajaan dahulu yang dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Maslan didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Tuduhan ke atas saya tidak berasas. Saya dan rakan-rakan menjadi mangsa kerajaan terdahulu, jadi tidak apa yang perlu dirisaukan,” ujar beliau kepada media di lobi Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Peguam yang mewakili Ahmad Maslan, Hamidi Mohd Noh pula menjelaskan, pertuduhan yang dikenakan kepada anak guamnya adalah berkaitan tidak membayar cukai pada tahun 2013.

“Maka hari ini kita memohon untuk mencabar pertuduhan pihak pendakwaan kerana pertuduhan itu tidak mempunyai asas. Kenapa? Kerana apa yang dibuat berdasarkan cukai yang tidak dibayar dan cukai itu tidak pernah dikutip.

“Kalau kita nak bayar cukai, kita tidak pergi ke Lembaga Hasil untuk bayar, kita tunggu Lembaga Hasil untuk keluarkan pernyataan untuk kita bayar. Kalau Lembaga Hasil tidak keluarkan pernyataan pada tahun itu, salah ke kalau kita tidak bayar? Ini persoalannya.

“Sebab itu kita mencabar pertuduhan yang tidak berasas ini,” ujar beliau.

Kes tersebut bakal didengar pada 9 Julai akan datang. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.