Hanya Mereka Yang ‘Buta’ Gagal Lihat Kejayaan PN Mentadbir Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelbagai aspek boleh dijadikan kayu ukuran kepada kejayaan Perikatan Nasional (PN) sejak mengambil alih pucuk pimpinan negara.

Jelas beliau, hanya mereka yang ‘buta’ sahaja yang tidak mahu mengakui kejayaan pentadbiran PN apatah lagi setelah diuji dengan pandemik COVID-19.

“Kalau ingin menilai prestasi barisan kabinet PN, antara yang boleh dilihat adalah pengumuman Prihatin, PKS, penjanaan yang kesemuanya secara langsung mahupun tidak langsung berjumlah RM295 bilion. Lain perkataan, kerajaan PN ambil berat tentang keselamatan, kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

“Satu lagi ukuran yang menarik adalah perbandingan keadaan negara ini (dalam isu COVID-19) dengan negara jiran. Ada negara jiran yang kes makin meningkat sedangkan negara kita menurun, ada negara jiran PKP makin ketat sedangkan kita makin longgar. Di dunia pula, Malaysia menjadi salah sebuah negara contoh dalam menghadapi COVID-19.

“Inilah bukti PN berjaya selamatkan rakyat dan ekonomi negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, ini jauh berbeza dengan pembangkang yang suatu ketika dulu menerajui kerajaan tapi hanya tahu berebut kuasa tanpa mempedulikan rakyat.

“Sejak saya sekolah hanya Mahathir… Anwar… Mahathir… Anwar… apa tidak ada orang lain ke? Sampai bila mereka mahu mewarnai politik negara? Apa tidak ada tokoh lain ke dalam negara ini? Sekali-sekala biarlah Zahid, Muhyiddin… Zahid, Muhyiddin….

“Kalau mereka hendak marah saya… marahlah… ada saya kisah,” ujar beliau berseloroh. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.