PRK Chini: Mohd Sharim Dipilih Sebagai Calon BN Hasil Input Dari Pengundi – Wan Rosdy


PEKAN, 18 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa pemilihan Mohd Shahrim Mohd Zain sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini adalah selepas mendapat input dari pengundi.

Katanya pemilihan Mohd Sharim, 41, anak peneroka generasi kedua Felda adalah keputusan yang tepat berikutan beliau merupakan anak setempat dan amat mengenali kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun serta rapat dengan penyandang DUN Chini itu.

“Kita telah membuat tinjauan dan menerima input dari kelompok pengundi seperti peneroka Felda, pengundi dari kampung tradisi, pengundi dari perkampungan orang asli, pengundi muda, pesara, kontraktor, golongan pentadbir dan NGO yang ada di Chini,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah PRK DUN Chini berkata demikian di hadapan kira-kira 200 penyokong pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK berkenaan, yang berlangsung di Pejabat UMNO Bahagian Pekan, di sini.

Katanya, Mohd Sharim adalah Pengerusi Belia Felda Chini, anak generasi kedua Felda Chini, Naib Pengerusi belia negeri Pahang dan juga adalah AJK UMNO bahagian Pekan.

“Saya berdoa kepada Allah SWT agar calon BN ini nanti memdapat berkat dari Allah, semoga Allah memberi kemenangan besar kepada BN,” katanya.

Antara yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagia Pekan merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khairuddin; Presiden KIMMA, Datuk Seri Syed Ibrahim Kadir dan Naib Presiden MCA Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakhtiar Harun, meninggal dunia pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan 20 Jun ini sebagai hari penamaan, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).- UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.