Mujahid Harus Bertanggungjawab Atas Lelongan Aset Hartanah Tabung Haji – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 18 Jun – Pendedahan surat berkenaan perlucutan hak terhadap pembelian semula aset-aset Lembaga Tabung Haji (TH) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu yang amat mengejutkan.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk segera memberi penjelasan berkenaan perkara ini dan mengambil tanggungjawab atas tindakan beliau yang jelas tidak meletakkan kepentingan TH dan para pendeposit sebagai keutamaan beliau semasa menjadi Menteri Agama.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan bahasa mudah Dr. Mujahid selaku menteri pada waktu itu telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk melepaskan hak TH membeli semula aset hartanah bagi membolehkan semua aset TH tersebut dilelong kepada pihak luar.

Dilaporkan, surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) yang ditandatangani sendiri oleh Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH mendedahkan bahawa YB Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Agama di bawah Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu telah meluluskan pengecualian hak penolakan pertama (First Right of Refusal) bagi 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB.

“Jika ini benar-benar dilaksanakan aset-aset hartanah TH termasuk hotel-hotel TH di beberapa lokasi strategik seluruh negara bahkan punya prospek keuntungan tinggi akan hilang buat selama-lamanya daripada pegangan TH.

“Untuk makluman Kerajaan PH lepas menjual aset-aset milik TH kepada UJSB berjumlah hampir RM10 billion dengan harga RM19.9 billion, atas dakwaan TH mengalami defisit aset berbanding liabiliti berjumlah RM4.1 billion di bawah program penstrukturan semula aset TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan pendedahan surat ini, katanya, ternyata Mantan Menteri Dr. Mujahid tidak berkata benar apabila beliau sendiri telah membuat kenyataan pada 24 Januari 2020 bahawa tiada campur tangan dalam urusan penjualan aset-aset TH.

“Pemuda UMNO juga menggesa agar pihak Kementerian Kewangan selaku pemilik UJSB untuk segera menyiasat perkara ini dan memaklumkan kepada rakyat akan status aset-aset milik TH yang masih dipegang dan diuruskan oleh UJSB,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.