Momentum Kemenangan Harus Diteruskan – Najib Razak

 

PEKAN, 18 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu momentum kemenangan yang bermula dari gunung Cameron Highland berterusan dengan kemanisan di Lembah Chini.

Katanya, momentum perjuangan ini harus diteruskan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Terima siapa calon secara positif… yang penting parti kita kena dimenangkan.

“Perjuangan kita bermula dari gunung Cameron Highlands di bawah pimpinan Wan Rosdy. Ia momentum berterusan sehingga ke Lembah Chini. Biarlah ia jadi legasi yang manis juga, untuk PRU yang akan datang,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon BN di Bangunan UMNO Pekan, di sini.

Jelas Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bahawa beliau sentiasa berhubung dan berunding dengan Wan Rosdy.

“Ini merupakan keputusan bersama walaupun beliau memberi mandat kepada saya tetapi saya tidak mahu mengambil keputusan secara bersendirian tapi saya sentiasa berbincang dan berhubung supaya kita sepakat dalam menamakan calon.

“Kita cuba mencari calon yang diterima oleh semua pihak dan disenangi oleh semua orang dan tidak ada masalah di kalangan pengundi di dalam kawasan DUN Chini,” katanya. 

Antara kriterianya sudah tentu mengambil kira keunikan Chini, kata Najib lagi.

“Sharim memang orang yang bekerja rapat dengan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

“Dia dah faham dan ‘masak’ dalam keadaan di Chini, selok-belok politik di Chini dan mengenali masyarakat di Chini. Oleh itu ia memenuhi kriteria yang telah kita tetapkan,” tegasnya.

Tambah Najib lagi apabila menyebutkan salah satu calon yang juga dipertimbangkan adalah Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Mohd Najib.

“Memanglah orang kenal Datuk Nizar, tetapi beliau berjiwa besar, bukannya tak layak tetapi memberi laluan kepada tokoh tempatan, anak tempatan. Itulah sikap positif dan maknanya bukan meletak diri dia dan yang penting sekali kebaikan dan kepentingan parti didahulukan,” tegasnya lagi. – UMNO Online





@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.