Kes Bicara Ahmad Zahid: Ubah Suai Banglo Untuk Tempatkan Orang Tua Belajar Agama – Saksi 70

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Saksi ke-70 dalam kes perbicaraan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Marzuki Che Omar 56, berkata, beliau dimaklumkan bahawa ubah suai sebuah banglo di Country Heights, Kajang adalah untuk kegunaan Yayasan Al-Falah bagi menempatkan golongan orang tua untuk mempelajari agama.

Jelas beliau, segala kerja ubah suai banglo Lot 403 milik Yayasan Al-Falah yang dimiliki oleh adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Nasaee Ahmad Termizi disempurnakan dalam tempoh tiga bulan dan dia dibayar secara tunai oleh Ahmad Zahid sendiri.

“Saya akan pergi ke Surau An Nur apabila diberitahu yang Datuk Zahid akan membuat pembayaran. Saya sahkan tiada kontrak bertulis dibuat untuk kerja-kerja ubah suai ini.

“Saya juga tidak keluarkan apa-apa resit terima bayaran. Saya dapat arahan dari Datuk Zahid secara lisan sahaja. Urusan ini dibuat atas kepercayaan sahaja. Saya juga tidak pernah bertanya dari mana datangnya wang itu, tetapi saya sahkan semua bayaran saya terima secara tunai dan serahan tangan daripada Datuk Zahid sendiri,” ujarnya.

Marzuki berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi pada hari ke-23 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit yang membabitkan Yayasan Akalbudi.

Marzuki juga menjelaskan, sebelum ubahsuai, keadaan banglo tersebut adalah seperti banglo tinggal dan tidak terurus.

Menjawab soalan peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid pula, adakah saksi itu bersetuju bahawa di dalam banglo itu terdapat ruangan besar untuk pengajian atau solat, beliau menjawab, “Setuju, siap ada karpet dan saf solat”.

Pengarah Urusan Tekad Nusantara Sdn Bhd itu juga bersetuju dengan Haziq Dhiyauddin bahawa terdapat beberapa bilik untuk penghuni berehat dan susun atur di dalam banglo itu seperti madrasah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 3 Julai ini.– UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.