PRU Pilihan Terakhir… Jentera Pemuda UMNO Bersedia

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mula menggerakkan jentera pilihan raya seluruh negara bagi membuat persediaan jika Pilihan Raya Umum (PRU) terpaksa diadakan memandangkan kedudukan kerajaan hari ini yang berterusan diasak dan digasak oleh pembangkang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyarf Wajdi Dusuki berkata, PRU seharusnya menjadi pilihan terakhir dalam keadaan rakyat sedang susah dan makin resah dengan bebanan sara hidup dan ramai yang mula kehilangan punca pendapatan lantaran PKP dan Covid-19.

“Hakikatnya, prasyarat terpenting untuk memulih dan menjana kembali ekonomi negara termasuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan pelabur dalam dan luar negara adalah kestabilan politik.”

Namun, tegasnya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya, jika negara berterusan dalam keadaan tidak ketentuan akibat kerajaan yang tidak stabil lantaran ‘tawar-menawar’ dan ‘jual-beli’ Ahli-ahli Parlimen masih berterusan, maka PRU adalah jalan terakhir untuk diserahkan kembali mandat kepada rakyat.

Sehingga ke hari ini, kepimpinan pembangkang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mewujudkan polemik berkaitan Perdana Menteri baharu dan Pakatan Harapan (PH) yang bakal menerajui semula kerajaan dengan memaklumkan ada ahli-ahli Parlimen yang memberikan sokongan kepada mereka.

Terdahulu, kerajaan PH tumbang 24 Feb lalu apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu.

Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.