Terima Kasih Kerajaan Dengar Suara Hati Rakyat, Eric Paulsen Tidak Lagi Menjadi Ahli MKPM

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah mendengar suara hati rakyat.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini yang memaklumkan Eric Paulsen tidak lagi menjadi ahli Majlis Perundangan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

“Terima kasih Kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana mendengar suara hati rakyat yang mempersoalkan perlantikan Eric Paulsen sebagai ahli (MPKM).

“Diharapkan Menteri ambil iktibar daripada episod ini untuk tidak lagi mengulangi kesilapan Kerajaan PH terdahulu yang banyak melakukan kerosakan kepada asas-asas kerukunan negara lantaran tindakan mereka merobek dan berterusan mengenepikan keindukan Islam dan Bumiputera dengan membiarkan perlakuan mencabuli isu-isu perkauman dan agama,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Sebelum ini pelbagai pihak menyelar pelantikan Eric Paulsen ekoran peguam terbabit terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrim dan berbaur penghinaan terhadap Islam selain yang antaranya menuduh JAKIM mempromosi ekstrimisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh Hukum Syariah dan menyalahkan madrasah menuntut ilmu agama sebagai lokasi pembiakan ekstrimis agama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.