PRK Chini Satu Testimoni Norma Baharu Untuk Pilihan Raya Akan Datang

ALOR SETAR, 16 Jun – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi Nor Saidi Nayan berkata, Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah satu testimoni penting untuk negara berhadapan dengan pilihan raya umum pada masa akan datang.

Jelas beliau, tidak ada jaminan bilakah pandemik COVID-19 ini akan berakhir maka mahu tidak mahu rakyat harus membiasakan diri dengan norma baharu dari segala segi termasuklah dalam berpolitik.

“Adakah kita bersedia dengan PRK Chini dalam norma yang baharu? Bersedia atau tidak, inilah yang harus kita hadapi dan lalui. Ada yang katakan takut dengan kluster Chini tetapi kita harus juga mengadakan PRK ini kerana inilah demokrasi.

“Lagi pula, tidak ada jaminan bila COVID-19 ini akan berakhir maka kita harus melalui segalanya dengan norma baharu.

“Malaysia adalah antara lima negara terbaik dalam menangani COVID-19 jadi, saya percaya kita boleh menjaga dan mengikuti SOP yang dikenakan nanti,” ujar beliau menerusi program ‘Sembang Kopi-O ‘yang membawa tajuk ‘Norma Baharu Politik Tanah Air’ anjuran UMNO Negeri Kedah, semalam.

Turut bersama sebagai panel dalam program yang disisrkan secara langsung tersebut ialah Pakar Bedah Dan Perunding Ortopedik Kanak-Kanak, Dr. Mohammad Nawar Ariffin.

Selain itu Nor Saidi berkata, bukan hanya COVID-19 menyebabkan negara harus berhadapan dengan norma baharu tetapi penyatuan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional juga adalah satu norma baharu.

“UMNO dan PAS bergaduh begitu lama dan ia adalah satu norma baharu apabila kedua-dua parti sanggup lupakan sengketa lama dan dapat berpakat dengan baik. Ini kerana kepentingan politik kepartian, negara dan bangsa merupakan satu penanda aras mengapa perlu kita perlu berpakat.

“Kita tidak lagi mementingkan siapa dapat apa dan bagaimana tetapi yang kita perjuangkan adalah muafakat untuk menyelamatkan negara ini,” ujar beliau.

Namun tegasnya, kedua-dua parti harus sentiasa berwaspada kerana ada sahaja musuh yang dengki dan mahu melihat penyatuan norma baharu UMNO dan PAS ini berkubur.

“Dalam soal politik baharu, ia ibarat seni seribu satu macam, seribu satu mungkin tapi kita kena ingat, penyatuan ini ada musuhnya kerana ada yang tidak suka.

“Maka berhati-hatilah kerana perjalanan kita masih panjang dan setiap apa yang bakal kita lalui kelak sudah pasti adalah satu norma baharu,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.