UMNO Bukan Talian Hayat Mana-Mana Parti Politik

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan bahawa UMNO bukan talian hayat untuk menyelamatkan mana-mana parti, mana-mana ahli politik atau mana-mana pemimpin sebaliknya UMNO adalah talian hayat untuk orang Melayu.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Wan Saiful, ahli MPT PPBM yang menyeru kononnya UMNO mestilah bersedia berkorban demi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN).

“Seruan ini tidak lain kerana beliau tahu, hanya UMNO dan PAS yang boleh menyelamatkan PPBM.

“Demikianlah pentas politik Malaysia yang dibanjiri dengan mereka yang pelbagai ragam, karakter dan perspektifnya. Malangnya, bukan dengan cara yang menguntungkan.

“Politik Malaysia sangat memerlukan mereka yang berpandangan jauh, tidak gelojoh dengan kuasa, menjaga lisan dan selalu mengutamakan misi yang lebih besar. Bukan ‘amatur’ yang pendirian dan pandangannya, sentiasa berubah-ubah mengikut laras kuasa dan bukannya perjuangan. Malah, pendirian dan prinsip mereka bertukar dan berubah lebih pantas dari COVID-19 merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sedangkan ujarnya, pada 6 Mac 2019, Wan Saiful, berkata bahawa gabungan UMNO PAS tidak akan kekal, ‘penyatuan UMNO dan PAS juga tidak nampak keupayaannya untuk kekal kerana asas perjuangan yang tidak kukuh disebabkan bermain isu agama dan bangsa yang tidak baik untuk negara.

“Benar, UMNO adalah parti yang sedia berkorban untuk rakan politiknya. Telah puluhan kali UMNO berkorban memperkuatkan rakan dalam Barisan Nasional (BN). Memberikan mereka ruang bertanding di kawasan yang paling boleh dimenangi oleh UMNO.

“Malah, dalam banyak keadaan, UMNO adalah parti yang sentiasa berkongsi sumber, tenaga dan kepimpinan untuk memastikan keluarga besar BN bertahan.”

Tetapi tegasnya, setelah UMNO tewas dalam PRU14, UMNO dewasa dengan pengalaman dan kenal benar, siapa lawan dan siapa kawan.

“UMNO tahu siapa yang bersetia dengannya dan siapa yang sekadar mencari kehidupan dan keuntungan sahaja dari UMNO. UMNO sekarang ini memilih hanya untuk berkorban demi agama, bangsa Melayu dan tanahair. Ini satu-satunya misi UMNO.

“Jika UMNO mengabaikan misi ini, orang Melayu dan rakyat Malaysia akan menolaknya. Jadi, UMNO tidak akan membiarkan dirinya dihukum, sekali lagi.”

Jadi, bidasnya, PPBM itu yang harus berkorban dan bekerja untuk membangunkan kekuatannya sendiri terlebih dahulu sebelum PN boleh dikuatkan.

“Bukan menuntut pengorbanan dari UMNO. Untuk menjadi rakan strategik UMNO, PPBM mesti mempunyai kekuatan tersendiri yang akan menghasilkan manfaat menang-menang kepada UMNO.

“UMNO tidak akan berkorban untuk memberi nyawa kepada mereka yang meninggalkan UMNO semasa parti ini tewas dan terjatuh parah. Kepada mereka ini, UMNO mungkin memaafkan tetapi tidak akan melupakan.

“Adalah lebih baik bagi UMNO menumpukan kekuatan dan tenaganya untuk meyakinkan lebih ramai orang Melayu menyertai misinya daripada memikirkan hal mereka yang pernah mencemuh, mencaci dan membenci UMNO.”

Tegasnya lagi, UMNO bukan untuk sesetengah elit atau mereka yang berasa koridor kuasa adalah milik mutlaknya.

“UMNO adalah untuk orang Melayu dan negara Malaysia yang lebih baik. Tanpa mereka ini, UMNO akan terus hidup. Tetapi, tanpa UMNO, kita tidak pasti apa masa depan mereka.

“UMNO sedar dan insaf, survivalnya adalah pada undi orang Melayu dan bukan Melayu. Bukan pada kerjasama politik yang bersifat sementara di peringkat yang tidak pun mewakili keseluruhan parti.

“UMNO telah membuka ruang kepada PPBM untuk menyertai misi besarnya. Ini ajakan yang ikhlas dan tulus. Mungkin sudah tiba masanya, PPBM yang perlu berkorban demi orang Melayu dengan menyertai UMNO dan bersama-sama menguatkan BN. Pilihannya jelas. Terpulanglah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.