Jangan Ulangi Keterlanjuran PH, Saifudin Perlu Tampil Perjelaskan Rasional Perlantikan Eric Paulson


KUALA LUMPUR, 15 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memohon penjelasan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifudin Abdullah mengenai pelantikan Eric Paulson sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan, apakah asas dan rasional melantik Eric Paulson, seorang peguam yang terkenal dengan pelbagai kenyataan ekstrim dan berbaur penghinaan terhadap Islam dan umat Islam melalui saluran media sosial beliau?

“Eric telah berkali-kali mengguris hati umat Islam dengan tulisan beliau seperti menuduh JAKIM mempromosi ekstrimisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh Hukum Syariah dan menyalahkan madrasah menuntut ilmu agama sebagai lokasi pembiakan ekstrimis agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bidas Dr Asyraf, jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda UMNO bertanggapan ramai lagi tokoh Peguam atau aktivis Hak Asasi Manusia yang sederhana (moderate) dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat Timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan.

“Pemuda UMNO berharap Saifudin tidak mengulangi keterlanjuran beliau ketika dalam Pakatan Harapan (PH) yang kuat mempelopori dan mempromosi agenda meratifikasi ICERD, Statut Rom dan pelbagai konvenyen Hak Asasi Manusia Antarabangsa yang mampu menggugat kestabilan dan kerukunan negara pelbagai agama dan kaum!” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.