Tangguh Hantar Jemaah Haji, Semua Perlu Redha – Hishamuddin

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hessein berkata, penangguhan penghantaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini pastinya sesuatu berat untuk diterima.

Namun begitu, beliau berharap semua yang terkesan tabah dan redha dengan keputusan tersebut.

“Sesungguhnya, ia demi keselamatan malah Brunei, Singapura dan Indonesia juga telah buat keputusan sama.

“Berhubung pendirian Malaysia ini, ia juga telah dimaklumkan kepada Kerajaan Arab Saudi. InsyaAllah, hubungan baik kita dengan mereka akan dimanfaatkan bagi memastikan urusan haji Malaysia pada masa akan datang dipermudahkan.

“Buat masa ini, kita doakan, semoga Allah SWT segera menghindarkan COVID-19 dari terus mengancam Kota Suci,” ujar beliau menerusi status di facebook.

Untuk rekod, Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi satu kenyataan berkata, akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Keputusan ini dibuat setelah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan keputusan Kerajaan Malaysia untuk menangguh penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak CoOVID-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.

Penularan wabak COVID-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti lebih 7.4 juta orang manakala lebih 418 ribu telah terkorban. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.