Kira-kira 38,600 Peneroka Di Pahang Sudah Terima Surat Hakmilik Tanah

PEKAN, 14 Jun – Kira-kira 38,600 atau 89.6 peratus daripada 43,126 peneroka di Pahang sudah menerima surat hakmilik tanah melibatkan kawasan seluas 182,000 hektar, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, berdasarkan harga semasa tanah, kerajaan negeri telah ‘mengorbankan’ tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM40 bilion untuk pemberian surat hakmilik tanah itu bagi memastikan peneroka menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa di Pahang.

“Sehubungan itu, saya mengingatkan para peneroka supaya dapat menjaga tanah ini dengan baik dan tidak sesekali memajak atau menjualnya selepas menerima surat hakmilik.

“Ini kerana tujuan asal kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda adalah untuk pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya di luar bandar,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Peneroka Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 kepada 156 peneroka di Dewan Semai Bakti Chini Timur 3 di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Sementara itu, seorang penerima Suahilai Md Tai, 65, menyifatkan pemberian surat hakmilik tanah itu sebagai ‘kemenangan’ terhadap perit jerih beliau selama 30 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan pertanian.

“Saya mula menjadi peneroka pada tahun 1985 dan selepas sekian lama, akhirnya saya dapat juga merasa memegang geran tanah sendiri. Ini adalah harta peninggalan untuk anak cucu supaya mereka ada kampung halaman untuk berkumpul pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Juaitar Abd Manaf, 62, sebak apabila terkenang rakan peneroka yang tidak sempat merasai nikmat memiliki surat hak milik itu selepas bersusah payah membuka tanah rancangan itu tanpa peralatan moden.

“Saya mengikut suami ke sini dan selepas sekian lama, hari ini saya teringat kembali betapa sukarnya kehidupan semasa itu. Hendak mendapat wang RM100 pun sangat sukar tapi berkat kesabaran, pendapatan pada masa ini sudah semakin baik dan stabil.

“Anak juga membesar dengan wang hasil Felda. Walaupun tidak mewah, kehidupan kami masih baik kerana mempunyai rumah yang selesa dalam kawasan yang terjaga dan kebajikan peneroka sentiasa diberi perhatian,” katanya. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.