Saya Sendiri Jadi Mangsa Berita Palsu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR- Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan mengatakan beliau tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong Singapura ke Malaysia adalah satu tuduhan yang berniat jahat.

Jelas beliau, Malaysia masih menutup pintu kepada semua negara termasuk Singapura.

“Saya sendiri menjadi mangsa kepada penyebaran berita palsu. Saya dituduh tidak mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari Singapura sedangkan hakikat sebenar adalah Malaysia masih lagi menutup pintu negara kepada semua pelawat asing.

“Pada saya, dakwaan ini berniat jahat dan apa yang lebih teruk, suara saya telah dialih suara. Rakyat Malaysia mungkin sudah kenal dengan suara saya tetapi rakyat Singapura tidak kenal.

“”Saya telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat penyebaran berita palsu berkenaan kerana berita palsu seperti ini boleh merosakkan hubungan baik Malaysia-Singapura,” ujar beliau semasa sidang media hari ini.

Dalam sidang media yang sama, Ismail Sabri berkata, tiada pertambahan kertas siasatan baharu berhubung penyebaran berita palsu yang dibuka oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SKMM dalam tempoh dua minggu lalu.

Ini jelas beliau, menunjukkan kesedaran masyarakat telah semakin meningkat untuk tidak berkongsi berita palsu.

“Bagaimanapun PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu,” tegasnya.- UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.