Bil TNB & Keresahan Rakyat, Penjelasan Perlu Diteruskan Untuk Redakan Isu – Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa beliau menerima banyak rungutan dan aduan dari rakyat beberapa hari ini berkaitan rasa tidak puas hati setelah menerima bil TNB yang dilihat ‘tinggi’ sama ada di kawasan perumahan mahupun bangunan komersial.

Katanya, walaupun sudah ada penjelasan dari TNB tetapi ianya masih tidak cukup untuk memenuhi kegelisahan rakyat.

“Penjelasan perlu diteruskan dengan lebih mudah atau tindakan penghantaran tiga bil bulanan yang dilihat lebih rendah dan difahami. Apa sahaja bagi meredakan isu ini.

“Jangan kerana kita sudah menjadi kerajaan, rakyat melihat mereka mahu dipermainkan. Ini sudah tentu bukan hasrat kerajaan sekarang. Jangan kita tambah bebanan rakyat yang sedang mengalami kesulitan ketika ini,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosialnya.

Dalam hal ini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga berterima kasih kepada TNB kerana semua sedia maklum sumbangan besar yang pihak TNB berikan kepada semua dan negara selama menghadapi tempoh PKP akibat wabak Covid-19.

“Namun rakyat juga harus faham, tugas dan bebanan yang dihadapi oleh TNB selaku penyedia tunggal bekalan elektrik di dalam negara ini. Jangan ada prasangka bahawa TNB mahu kenakan mereka. Jauh sekali mahu aniaya mereka.

“Marilah kita selesai isu ini segera. Bahkan saya yakin rakyat pasti akan berkorban untuk negara jika kita berlaku adil kepada mereka. Jika kena caranya, rakyat amat memahami, begitulah sebaliknya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.