Ismail Sabri Kongsi Cabaran Lapor Perkembangan PKP Setiap Hari

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Sejak hampir tiga bulan lepas, apabila negara dilanda pandemik COVID-19, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula menjadi ‘wajah kesayangan’ rakyat Malaysia.

Kemunculan beliau yang berperanan sebagai menteri yang menyampaikan laporan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sidang media harian pukul 2.00 petang setiap hari dinantikan rakyat, selain Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang akan membentangkan laporan harian kesihatan mengenai COVID-19 pada 5.00 petang.

Dalam satu wawancara khas untuk sebuah dokumentari mengenai PKP dengan Bernama TV baru-baru ini, Ismail Sabri berkongsi cabaran dan rutinnya menyampaikan sidang media termasuk cerita di sebalik pakaiannya yang turut ‘mencuri’ perhatian penonton dan warganet:

S: Datuk Seri dipertanggungjawabkan menjaga kementerian dan juga muncul di kaca TV setiap hari. Perasaan pada sidang media yang pertama sejak PKP?

J: Nervous (Gementar). Sidang media dibuat selepas mesyuarat pertama Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk menyelaras apa yang dibuat oleh kementerian lain. Sudahlah hari itu mesyuarat pertama, agak gementar juga mempengerusikan mesyuarat pertama dalam kalangan menteri-menteri yang dahulunya duduk di kerusi berlainan (fahaman politik) dengan saya.

Ada lebih kurang 20 menteri berkaitan yang wajib ada dalam mesyuarat itu berserta dengan agensi berkaitan yang lain.
Sudah tentu ini merupakan satu perkara yang saya anggap merupakan tugas yang amat berat kerana saya terpaksa memberikan makluman terkini kepada rakyat, yang kita tak tahu sejauh mana penerimaan rakyat kepada apa yang saya lakukan.

Pengumuman harian itu penting kepada rakyat. Apatah lagi ketika itu PKP ini masih terlalu awal untuk rakyat memahami dan lebih memberatkan saya adalah saya terpaksa menyekat banyak perkara, rutin harian rakyat, saya akan memaklumkan ini tak boleh, itu tak boleh, sudah tentu perasaan saya ketika itu adalah begitu gementar kerana takut tidak dapat diterima oleh rakyat.

S: Pastinya sebelum sidang media tersebut, ada amanat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Boleh Datuk Seri kongsikan?

J: Perdana Menteri tentu sahaja minta tidak ada isu ataupun tindak balas yang negatif daripada rakyat, untuk saya memastikan tidak ada tindak balas negatif daripada rakyat itu lebih sukar kerana pertama kali kita berhadapan perkara-perkara ini.

S: Buat pertama kali dalam sejarah negara, seluruh jentera pentadbiran negara digerakkan bagi memastikan PKP dikuatkuasakan dan Datuk Seri menggalas tanggungjawab berat apabila perlu mempengerusikan mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP yang turut disertai sejumlah besar menteri Kabinet yang lain. Bagaimana kerjasama daripada anggota mesyuarat lain?

J: Mesyuarat khas menteri-menteri dihadiri oleh hampir 20 kementerian, jadi mesyuarat ini melibatkan lebih daripada separuh menteri Kabinet, hampir dua pertiga daripada ahli Kabinet.

Itu tidak termasuk ketua jabatan lain seperti Panglima ATM (Angkatan Tentera Malaysia), Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah JIM (Jabatan Imigresen Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan pelbagai jabatan lain.
Sejak hari pertama lagi saya mendapat kerjasama terbaik daripada rakan-rakan menteri Kabinet dan juga ketua-ketua jabatan.

S: Setiap hari muncul di kaca TV, Datuk Seri dilihat begitu yakin setiap kali muncul pada sidang media, menjawab soalan dengan begitu mudah dan kadangkala sambil berjenaka. Bagaimana Datuk Seri mendapat semangat dan keyakinan untuk berdepan dengan media dan rakyat dalam membentangkan perkembangan PKP setiap hari?

J: Rutin saya bermula dengan mesyuarat khas menteri-menteri pada pukul 9.00 pagi setiap hari. Pada ketika ini semua input untuk saya bentangkan laporan harian akan dikumpulkan.

Sejak PKP dilaksanakan rutin ini berlarutan tujuh hari seminggu, tidak ada cuti, hujung minggu dan cuti umum pun mesyuarat juga kecuali hari raya pertama, itu dah dipersetujui semua.

Selepas itu sebelum saya muncul di TV, saya ada kumpulan yang membantu terdiri daripada pegawai-pegawai saya, SUA (setiausaha akhbar) saya dan UKK (unit komunikasi korporat).

Saya juga dibantu oleh ‘war room’ PMO (Pejabat Perdana Menteri), terdiri daripada pelbagai pihak termasuk media pun ada. Jadi sebelum saya menjawab, kita telah bincang.

Dan saya lebih mudah untuk menjawab kerana kita telah buat jangkaan soalan-soalan daripada media, ia mestilah berkisar perkara yang diperkatakan pada hari sebelum dan pada hari itu, soalan media tak lari jauh daripada apa yang dibincangkan oleh rakyat.

Saya juga mendapat maklum balas orang ramai daripada (aplikasi) WhatsApp, ramai yang tahu nombor saya dan akan sampaikan pandangan mereka, apa yang tak puas hati disuarakan kepada saya.

Begitu juga komen-komen dalam FB (Facebook) dan Instagram saya, pandangan itu saya ambil dan berbincang dengan war room. Sebab itulah nampak agak relaks sikit daripada segi menjawab soalan.

Saya terpaksa menunjukkan keyakinan kerana saya mewakili kerajaan, saya memberi nasihat supaya rakyat patuh dan sebagainya, bayangkan jika saya gementar di depan kamera, akhirnya orang takkan yakin dengan saya dan kalau orang tak yakin dengan saya, tentulah tak yakin kepada kerajaan kerana saya berdiri setiap hari di depan TV mewakili kerajaan.

S: Adakah Datuk Seri melihat maklum balas daripada rakyat yang Datuk Seri dapati hasil daripada pantauan media sosial membantu memperkasakan PKP?

J: Benar, saya percaya memang pandangan daripada rakyat membantu memperkasa dan mempermudahkan kerja-kerja yang saya lakukan. Ini kerana mereka terlibat secara langsung, mereka berada di akar umbi, apa yang kita putuskan (disampaikan) terus kepada diri mereka.

Kalau ada isu yang mereka tak puas hati mereka beritahu saya, sebenarnya itu melalui pengalaman mereka, mereka beri pandangan macam mana (untuk) tingkatkan (SOP), sebab itu saya catatkan dan kita akan bincang dalam mesyuarat khas menteri-menteri.
Banyak yang saya bawa dalam mesyuarat dan saya akan kata ini adalah pandangan daripada rakyat di akar umbi.

S: Pada pandangan Datuk Seri, apakah hikmah dan pengajaran terbaik yang boleh rakyat Malaysia peroleh daripada COVID-19?

J: Kerjasama. Kalau ikutkan, naluri kita sebagai manusia memang suka bebas dan tak suka disekat daripada segi pergerakan, apabila kita terpaksa hadkannya, amat sukar untuk rakyat memahaminya.
Tetapi akhirnya mereka akur dan bekerjasama dengan mengambil tindakan mengawal diri sendiri iaitu kawalan kendiri, kalau kita buat survei selepas sebulan adakan PKP, rakyat sendiri minta supaya jangan dilonggarkan, malah minta ia dilanjutkan kerana merasa belum selamat, inilah satu perkara yang berlaku kepada rakyat kita.

Jika kita lihat di negara lain, rakyat mereka adakan bantahan terhadap kerajaan kerana laksanakan PKP, tetapi di negara kita menerima dan mematuhi normal baharu yang ditetapkan.

Kalau dulu siapa yang nak beratur sampai setengah jam sehingga 45 minit kalau nak masuk pasar raya, sekarang ini rakyat sendiri sanggup beratur, pakai pelitup muka, dikawal pula bilangan nak masuk ke dalam premis, kerana mereka sedar itulah yang terbaik untuk keselamatan mereka.
Daripada maklumat yang disampaikan PDRM (Polis Diraja Malaysia), tahap pematuhan rakyat Malaysia kepada setiap kawalan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan adalah pada tahap lebih 95 peratus.

Kita juga ada perkhidmatan KKM (Kementerian Kesihatan) yang terbaik, tetapi tanpa kerjasama daripada rakyat kita juga takkan berjaya mengharunginya.

S: Bagaimana rutin harian ini memberi kesan kepada rutin hidup Datuk Seri dan daripada segi mengekalkan kesihatan bagaimana Datuk Seri menjaga pemakanan harian bagi memastikan diri sentiasa sihat berdepan dengan rakyat.

J: Daripada segi rutin pastinya berubah. Sejak COVID-19, memang padat sebab rutin hidup berubah mendadak, masa untuk diri sendiri hampir tiada.
Hampir tiga perempat daripada hari saya memang banyak dihabiskan di Putrajaya, saya juga mengambil masa untuk memantau media sosial saya, biasa pukul 2.00 pagi baru saya akan melelapkan mata.
Jika ditanya apa vitamin yang saya makan untuk mengekalkan kesihatan, saya makan seperti biasa. Vitamin saya makan multivitamin asas dan vitamin C.

S: Sidang media Datuk Seri bukan hanya dinanti untuk rakyat mengetahui perkembangan mengenai PKP, mendengar nasihat dan kata-kata semangat, tetapi juga rakyat ternanti-nanti mahu melihat baju apa yang dipakai oleh Datuk Seri setiap hari, mungkin Datuk Seri boleh ceritakan bagaimana Datuk Seri mendapat idea memakai baju yang menarik perhatian?

J: Sebenarnya ia bukan bermula dengan idea pun, secara rasminya pakaian saya untuk hari bekerja Isnin hingga Jumaat saya pakai baju kerja. Saya tidak pakai sut, tidak pakai tali leher, tidak pakai blazer kerana saya berpandangan, apabila saya pakai baju (kemeja) lengan panjang yang dilipat, walaupun rasmi, tetapi saya rasa saya lebih dekat dengan rakyat.

Dengan pakaian itu, saya bukanlah pemimpin yang jauh dengan mereka (rakyat), tetapi sebahagian daripada mereka, jadi pakaian saya rasmi, tetapi agak santai.
Pada hari Khamis pula memang dari dulu saya pakai baju batik, dan Jumaat baju Melayu, tetapi kerana PKP tidak ada solat Jumaat, saya tak pakai baju Melayu.

Hari Sabtu memang hari santai, tetapi saya tidak mahu terlalu santai walau Sabtu Ahad itu hari cuti, kerana saya mewakili kerajaan, kerana walau hujung minggu apa yang disampaikan adalah rasmi, sama sahaja dengan hari biasa iaitu saya selaku penyampai laporan harian rasmi daripada kerajaan.

Oleh itu, saya memilih baju batik untuk saya pakai, dan baju batik pertama yang saya pakai hari itu mengubah segala-galanya. Saya hanya ambil baju batik saya yang memang dari dulu pun berwarna-warni, apabila saya pakai, tiba-tiba dah jadi trending (sohor kini).

Bukanlah tujuan asal untuk menjadikannya trending. Mungkin bila orang duduk di rumah sewaktu PKP, warganet jadi terlalu kreatif dan mula membandingkan baju dengan kuih. Saya bukan setakat jadi model batik, tetapi model kuih.

Saya bertuah menantu saya seorang pereka fesyen, Jovian Madagie dan dia pun juga ada reka baju batik untuk saya, jika koleksi baju lama itu isteri saya yang sama-sama pilih baju mana yang saya perlu pakai.

Saya difahamkan selepas saya pakai baju batik tu, ramai yang tidak tahu batik Malaysia ini begitu bagus dari segi rekaan dan sebagainya, saya difahamkan selepas tular ramai dah ikut dan berminat untuk membeli.

Baru-baru ini, saya pakai baju batik daripada Karyaneka di bawah MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) sebelum ini ramai anggap kalau bawah kerajaan rekaannya tak menarik, bila saya pakai motif Sarawak sempena Hari Gawai, tak sangka ramai mula masuk laman web Karyaneka untuk beli baju batik.

Dari satu segi bukan setakat saya pakai tetapi memperkenalkan batik kita yang selama ini tidak trending terutama dalam kalangan orang muda, tetapi dengan rekaan-rekaan yang nampak ceria itu orang muda juga akan pakai baju batik. – BERNAMA