Bil Naik Mendadak, Puteri UMNO Cadang Pengiraan Prorata


KUALA LUMPUR, 12 Jun – Puteri UMNO mencadangkan agar pengiraan bulanan bil elektrik dikira prorata mengikut blok pertama 1-200/kWh bersamaan dengan RM0.20 sen dan blok kedua 201-300/kWh bersamaan RM0.30 sen bukan mengikut blok ketiga dan seterusnya yang mana cajnya jauh lebih tinggi.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ini memandangkan ramai yang mengeluh, terkejut dan marah apabila melihat bilTNB masing-masing.

“Harap pihak kerajaan mahupun TNB dapat perkenalkan lebih banyak pakej diskaun kepada rakyat terutamanya keluarga dari kumpulan B40 yang paling teruk terkesan akibat PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, memang penggunaan meningkat lebih dari biasa di musim PKP, tapi dalam masa yang sama pendapatan rakyat juga merudum, ramai yang terkesan dan ramai juga yang hilang pendapatan..

“Peningkatan itu juga kerana rakyat tiada pilihan apabila terpaksa ‘duduk di rumah’ dan ramai yang bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP yang bermula 18 Mac lalu.

“Ia menjadi kekeliruan apabila TNB mengenakan ‘Bacaan Anggaran’ dan pengguna jadi marah bila terima bil cas yang dikenakan jauh lebih tinggi dari biasa.”

Beliau juga berkata, kerjasama serta kepatuhan rakyat yang tinggi sepanjang PKP dilaksanakan mula menampakkan hasil positif sehingga kerajaan dapat membuka semula pelbagai sektor ekonomi hari ini.

“Jadi kami juga mengharapkan lebih banyak lagi berita gembira dan manfaat yang dapat dinikmati rakyat teramai sepanjang tempoh PKPP hinggalah negara diisytihar berjaya 100 peratus menghentikan rantaian covid 19,” tambahnya. – UMNO-Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.