Benarkah Negara Hadapi Zaman Gelap Selagi PH Tidak Ambil Semula Mandat?

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas mantan menteri Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mendakwa negara bakal menghadapi zaman gelap selagi PH tidak ambil semula mandat.

Katanya yang membahasakan Dr Mujahid sebagai kekanda, walau apapun hujah yang diberikan, beliau yakin bahawa rakyat hari ini lebih tenang dan selesa.

“Walau apapun hujah kekanda, adinda yakin rakyat lebih tenang dan selesa dengan kerajaan hari ini yang bebas daripada Dap dan petualang-petualang agama dan bangsa dikalangan gabungan PH terutamanya PAN dan PKR yang hakikatnya bertanggungjawab memainkan sentimen agama dan bangsa sepanjang 22 bulan berkuasa,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi laman facebooknya, hari ini.

Dr Asyraf juga turut meminta pandangan daripada pengikutnya di laman facebook yang rata-rata turut menempelak kepimpinan PH dengan memberi pelbagai perbandingan termasuklah penjualan aset-aset Melayu/Bumiputera dan Tabung Haji selain tunduk kepada kepimpinan Dap.

Dilaporkan, semalam Dr Mujahid menerusi sebuah akhbar dipetik berkata, kuasa yang ada dalam Perikatan Nasional (PN) tidak stabil dan kesetiaan hanyalah kepada kepentingan apa yang dapat diraih dan bukan untuk mentadbir negara dan rakyat.

Selain itu katanya rakyat sekali lagi akan menderita dengan kehadiran politik elitis, partisan dan kebencian kaum dan agama.

Terdahulu, kerajaan PH tumbang 24 Feb lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu. Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas. – UMNO Online