Krisis COVID-19 Buktikan Negara Kecil Punyai Nilai Dan Keupayaan Tangani Cabaran


KUALA LUMPUR, 11 Jun – Jumlah kes baharu COVID-19 semalam adalah paling rendah dicatatkan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya dua kes dan tiada penularan dalam negara.

Sehubungan itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggangap bahawa negara kecil juga berupaya mengurus krisis ini dengan baik tanpa bergantung kepada agenda kuasa besar.

“Krisis Covid-19 benar-benar menguji banyak negara dan Malaysia tidak terkecuali. Saya percaya, semasa tempoh sukar ini, Malaysia bersama negara-negara kecil perlu bersatu dalam mendepani landskap baharu dunia ini.

“Telah dibuktikan, tanpa rasa bangga dan ego serta dengan merendah diri, negara kecil berupaya mengurus krisis ini dengan baik. Ia sekaligus membuktikan negara kecil mempunyai nilai dan keupayaan serta tidak perlu bergantung kepada agenda kuasa besar,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Malah, ujarnya, selepas krisis ini reda, Malaysia dan negara-negara kecil perlu membuat pilihan sama ada mahu terus mengukuhkan kerjasama dan perpaduan atau berusaha sendirian.

“Atau lebih teruk, saling berseteru dan berpecah belah. Malaysia, pasti akan memilih jalan yang mampu menjamin masa depan yang boleh dibanggakan oleh anak, cucu dan cicit kita,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Dilaporkan, bermula semalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibuat menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mengawal pergerakan di sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menangguhkan tugas mereka dan menumpukan kepada pematuhan SOP pula. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.