Frontliners COVID-19: APM Antara Agensi Terpilih Terima Anugerah Hari UMNO
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO tidak pernah melupakan jasa Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam membantu menangani penularan pandemik COVID-19.
Jelas beliau, APM sering memainkan peranan belakang tabir, namun jasa dan bakti agensi itu amat besar kepada negara.
“Walaupun kita selalu nampak askar dan polis di atas jalan raya memainkan peranan sebagai ‘frontliners’, namun APM juga sebenarnya mempunyai jasa yang cukup besar. Kerana itulah, UMNO telah memilih APM sebagai salah satu daripada 16 agensi bagi menerima anugerah Hari UMNO.
“Saya berharap, APM akan terus komited dengan amanah yang diberi. Perlu diingat, APM ini adalah sukarelawan dan sudah pasti apa yang mereka sumbangkan amat bermakna kerana tidak mengharapkan sebarang balasan dan hanya berdasarkan sukarela,” ujar beliau selepas menyampaikan anugerah Hari UMNO sempena ulang tahun UMNO ke-74 di ibu pejabat APM di Sungai Merab, hari ini.
Sebelum majlis penyampaian tersebut, Ahmad Maslan telah diberi taklimat ringkas mengenai peranan APM terutamanya dalam menangani pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau juga sempat berbual bersama pemimpin-pemimpin APM di beberapa buah negeri menerusi siaran video secara langsung.
Untuk rekod, anugerah Hari UMNO kebiasaannya diberikan kepada individu ataupun tokoh namun pada tahun ini UMNO menampilkan kelainan dengan memilih 16 agensi sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta bakti mereka dalam berjuang menangani COVID-19.
Empat agensi media turut terpilih untuk menerima anugerah tersebut iaitu BERNAMA, Astro Awani, RTM dan Media Prima. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy