PKPP Beri Impak Positif Terhadap Sektor Pelancongan Pahang, Lebih Dari 3,000 Bilik Ditempah

KUANTAN, 10 Jun – Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebaik sahaja kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negeri dan melancong, sektor perhotelan di negeri tersebut telah menerima tempahan mendadak daripada pelancong domestik.

Jelas beliau, tinjauan yang dilakukan mendapati beberapa hotel di negeri Pahang telah memperlihatkan sambutan yang begitu baik dari segi bilangan tempahannya yang mana sehingga pukul 12 tengah malam selepas kerajaan membuat pengumuman, lebih 3,000 tempahan telah pun dibuat, dari lebih 500 hotel, motel, resort, chalet dan homestay dari 38,000 bilik penginapan di Pahang.

“Kawasan tanah tinggi Cameron Highlands menunjukkan perkembangan yang sungguh memberangsangkan dengan pertambahan jumlah tempahan yang mendadak sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.

“Sebagai contoh, sebuah hotel di Cameron Highlands menerima lebih 300 tempahan bilik dalam hanya beberapa jam selepas pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Maklum balas dari Mybha (Persatuan Hotel Bajet Malaysia Cawangan Pahang) juga menunjukkan perkembangan yang baik dalam kalangan ahlinya.

“Selain Cameron Highlands, destinasi-destinasi seperti Kuantan, Cherating, Rompin juga telah mula menerima tempahan dari pelancong. Beberapa hotel terkemuka di Taman Negara juga telah mula mendapat tempahan. Agensi Pelancongan Taman Negara yang terpilih juga telah menerima tempahan baru.

“Memandangkan secara tradisinya pasaran Taman Negara sebahagian besar terdiri dari pasaran antarabangsa (66 peratus), agensi pelancongan dan resort perlu menyesuaikan aktiviti dan produk bersesuaian untuk menarik pasaran tempatan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Sharkar yang juga merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, sambutan di Pulau Tioman juga menampakkan perkembangan positif.

“Bagaimanapun aktiviti laut seperti skuba dan snorkeling masih belum dibuka. Ini agak mengesankan memandangkan aktiviti-aktiviti ini merupakan produk penting bagi Pulau Tioman.

“Genting Highlands masih belum dibuka memandangkan aktiviti utamanya, taman tema belum boleh dibenarkan operasinya oleh pihak kerajaan, sungguhpun begitu Genting Premium Outlet (GPO) sudah dibuka sebahagiannya.

“Keputusan kerajaan membenarkan rentas negeri dan pelancongan domestik telah memperlihatkan permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan-bulan mengalami kemerosotan impak pandemik COVID-19,” terang beliau.

Menjelas lebih lanjut Sharkar berkata, negeri Pahang yakin industri pelancongan di negeri ini akan mendapat manfaat dari kebenaran rentas negeri ini dan sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) keselamatan khusus untuk dilaksanakan di semua hotel, resort di negeri ini.

“Pihak penggiat pelancongan di negeri ini juga memberi reaksi positif daripada keputusan kerajaan itu dan menjangkakan akan terus berlaku peningkatan dalam pelancongan domestik dan bersedia memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.

“Kerajaan Negeri Pahang juga akan akur dan patuh dengan segala SOP yang ditetapkan kerajaan dan jika berlaku kes jangkitan COVID-19, hotel atau resort terlibat akan segera ditutup.

“Negeri Pahang akan terus membantu dan mencari penyelesaian yang terbaik bagi memastikan industri pelancongan khususnya sektor perhotelan dapat dipulihkan kembali selepas terjejas teruk ekoran pandemik COVID-19,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.