PRK Chini: “Kalau Bebas Nak Bertanding, Fikir Sepuluh Kali”


KUALA LUMPUR, 9 Jun – “Calon bebas yang nak bertanding di PRK Chini, saya harap fikir sepuluh kali,” ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jelas beliau, ini kerana sekiranya diambil kira jumlah undi Barisan Nasional (BN) dan PAS ketika pilihan raya umum (PRU) yang lalu, laluan sukar sudah pasti menanti calon bebas yang berhasrat mahu bertanding.

“PKR sudah umum tidak akan letak calon jadi saya harap calon bebas pun tidak perlu bertanding sebab kalau undi UMNO dan undi PAS dicampur… sebab itu fikir sepuluh kali mana-mana calon bebas yang nak bertanding.

“Tambah-tambah dalam suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini adalah lebih baik tidak ada pertandingan tapi kalau ada, BN memang sudah bersedia. Bilik gerakanpun sudah beroperasi mengikut S. O. P (Prosedur Operasi Standard) ketat,” ujar beliau kepada media selepas menyerahkan anugerah kepada ‘frontliners’ sempena Hari UMNO di Media Prima hari ini.

Sementara itu, bercakap soal anugerah tersebut Ahmad Maslan berkata, UMNO menyedari peranan media sepanjang tempoh PKP dan kerana itulah anugerah khas ini diberi kepada media terpilih demi menghargai jasa media.

“Media menyalurkan berita yang sahih, tepat berkaitan COVID-19 agar orang ramai dapat ambil tindakan segera. Ini semua kerja ‘frontliners’. Walaupun orang selalu fikir ‘frontliners’ ini hanya doktor, polis, askar… tapi UMNO tidak pernah lupa jasa media.

“Jadi, UMNO berbesar hati menyampaikan anugerah Hari UMNO ini kepada media,” ujar beliau.

Bersempena Hari UMNO pada 11 Mei yang lalu, UMNO telah membuat keputusan menyampaikan 16 anugerah khas kepada barisan ‘frontliners’ dan empat daripadanya adalah agensi media iaitu RTM, Media Prima, Astro dan Bernama. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.