Kebajikan Rakyat Jadi Keutamaan, PRU -15 Pilihan Terakhir – Asyraf

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin yang mengisyaratkan kejayaan Kerajaan dan rakyat hampir berjaya memutuskan rantaian virus Covid-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bagi pergerakan itu, keutamaan ketika ini harus difokuskan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dan ekonomi negara segera dijana semula demi kesejahteraan semua terutamanya pasca PKP ini.

“Sebab itulah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang kembali menjadi topik perbualan hangat ketika ini harus menjadi pilihan terakhir jika beberapa senario dan faktor berikut tidak dapat dibendung lagi.

“Usaha pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dengan proses ‘jual-beli’ dan tarik tali di kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk meruntuhkan kepimpinan negara yang sedia ada.

“Kedudukan Kerajaan yang rapuh dengan majoriti yang amat kecil membuka ruang-ruang spekulasi dan permainan persepsi sebagaimana yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim yang kononnya sudah memperolehi 129 sokongan Ahli Parlimen,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi kerajaan yang berterusan ditohmah dan dipersepsikan PH sebagai ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara sekaligus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan perlaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat.

“Sekiranya ketiga-tiga faktor di atas tidak dapat dikekang dan dibendung lagi, Kerajaan hakikatnya tidak banyak pilihan kecuali menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang membela nasib mereka dan bukannya sekadar sibuk berebut kuasa.

“Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian PRU ke-15 harus menjadi pilihan terakhir jika kerakusan dan ketamakan PH kembali berkuasa tidak dapat dibendung dan negara berterusan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan lantaran krisis politik berpanjangan,” tambahnya- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.