PKPB Belum Boleh Dihentikan, Namun Kelonggaran Ekonomi Perlu Ditambah

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpandangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) belum lagi boleh dihentikan kerana negara masih belum berjaya dalam memerangi COVID-19.

Justeru, kata beliau PKPB wajar diteruskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan jumlah sektor ekonomi yang diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi harus ditambah.

“Langkah ini perlu diambil kerana kita tidak mahu kelembapan ekonomi berpanjangan dan sekurang-kurangnya dapat dipulihkan sedikit demi sedikit. Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada boleh terus dikuatkuasa dan disesuaikan mengikut sektor ekonomi tersebut.

“Sekiranya PKPB ditamatkan, Kerajaan tidak lagi boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar arahan kerana akta yang digunapakai kini iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah terbatal,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Mahdzir pujian harus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang kekal bersatu hati mematuhi setiap arahan pihak Kerajaan dari hari pertama PKP dilaksanakan sehingga kini dan hasilnya, tiada lagi jumlah kes yang tinggi direkodkan dalam kalangan warga tempatan.

“Kita semakin hampir ke garisan penamat dalam memerangi COVID-19. Terus mengamalkan norma baharu seperti sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitiser dan sentiasa menjaga penjarakan sosial,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.