MY30 Beri Manfaat Kepada Sejuta Pengguna Setiap Hari

TELUK INTAN, 7 Jun – Program MY30 yang diperkenalkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) khusus untuk pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) bakal memberi manfaat kepada kira-kira sejuta pengguna di Lembah Klang, setiap hari.

Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata program itu membabitkan perkhidmatan pengangkutan rel Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan perkhidmatan bas Rapid KL.

“Setiap bulan kira-kira 30 juta pengguna menggunakan kesemua perkhidmatan itu. Jadi, berapa ramai (semua) yang menggunakan perkhidmatan itu akan mendapat faedah daripada pihak kerajaan menerusi Prasarana,” katanya kepada pemberita selepas melawat 14 keluarga mangsa banjir di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan di Langkap di sini, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata setiap penumpang warganegara Malaysia akan diberikan RM30 untuk pas perjalanan sama ada pergi bekerja atau ke mana-mana sahaja di sekitar Lembah Klang dan ia mampu mengurangkan kos pengangkutan rakyat.

Bagaimana, Tajuddin berkata perincian mengenai program berkenaan akan diumumkan pada majlis pelancaran yang dijadual pada 16 Jun nanti.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semasa mengumumkan PENJANA berkata Program MY30 di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang akan berkuat kuasa 15 Jun sehingga Disember 2020.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.