Keputusan PH Tidak Bertanding PRK DUN Chini Langkah Terpuji, Harap Tiada Calon Bebas Disokong Pihak Tertentu- Sharkar

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)UMNO, Mohd Sharkar Shamsudin menzahirkan terima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) kerana memutuskan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang dijadualkan pada 4 Julai 2020.

Jelas beliau, dalam keadaan negara masih berperang dengan penularan pandemik COVID-19, setiap parti politik termasuk calon bebas seharusnya berjiwa besar dengan tidak bertanding pada PRK berkenaan.

“Cuma apa diharapkan… jangan pula ada calon bebas yang memutuskan bertanding PRK Dun Chini dan disokong pula oleh pihak-pihak tertentu. Dalam keadaan negara masih belum bebas dari penularan pandemik COVID-19, ini bukan masa sesuai untuk pilihan raya diadakan.

“PH diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun membuktikan mereka lebih mengutamakan kepentingan dan keselamatan negara serta rakyat mengatasi segalanya.Itu merupakan langkah yang cukup terpuji diputuskan oleh majlis pimpinan PH diketuai Anwar dan sewajarnya dicontohi,” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Tambah Sharkar lagi, apa yang penting dan perlu menjadi keutamaan semua pihak pada ketika ini adalah keselamatan negara dan rakyat jika pandemik COVID-19 berjaya diputuskan 100 peratus.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini, namun adakah ia dijamin selamat 100 peratus dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi? soalnya.

“Jadi, langkah yang wajar dan tepat adalah tiada pertandingan di PRK Chini dan memberi kemenangan percuma kepada penyandang kerusi.

“Daripada wang dibelanjakan untuk PRK, adalah lebih wang itu digunakan untuk kebajikan rakyat yang terkesan teruk ekoran penularan wabak COVID-19. Ini bukan masa sesuai untuk kita berpolitik, bersama-samalah membantu kerajaan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 demi keselamatan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

“Tunggulah apabila tiba masanya nanti (Pilihan Raya Umum Ke-15), berlawanlah dan biar rakyat yang menentukan siapa pilihan mereka,” tegasnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.