Rekod Perkhidmatan BN Di Chini Meyakinkan Pengundi Sokong BN – Ahmad Maslan

CHINI, 7 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan memilih Barisan Nasional (BN) dengan melihat kepada rekod perkhidmatan cemerlang Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Menurut beliau jika wujud pertandingan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut, sudah pasti mereka akan melihat kepada perkara berkenaan sebelum membuat pilihan masing-masing pada hari pengundian, 4 Julai nanti.

“Kita tahu bahawa di sini adalah kawasan Yang Berhormat Datuk Seri Najib, bekas Perdana Menteri yang keenam dan beliau menjadi ahli Parlimen di sini lama, sudah tentunya kawasan Chini ini telah dibangunkan dengan baik ketika Datuk Seri menjadi Perdana Menteri dan sebelum itu lagi.

“Alhamdulillah… kita yakin pengundi di kawasan DUN Chini ini akan mengundi calon BN pada PRK yang dijadualkan pada 4 haribulan Julai nanti dan pada 20 haribulan kita ada penamaan calon jika ada pertandingan, pengundian ialah pada 4 haribulan.

“Saya telah menerima taklimat daripada pihak UMNO Negeri Pahang, Menteri Besar dan ‘team’ beliau. Saya memahami tentang perkara di sini dan segala perkara isu-isu dan sebagainya. Kita akan selesaikan secepat mungkin dan saya amat yakin bahawa 20 ribu orang lebih pengundi ini akan bersama dengan BN, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menjelaskan lebih-lebih lagi dalam Muafakat Nasional ini PAS telah mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada PRK ini.

“Kalau kita berdepan mungkin dengan PKR ataupun dengan bebas tetapi kita ada keyakinan dengan rekod yang cukup baik oleh arwah sebelum ini dengan melaksanakan tugas yang baik dan amat mudah untuk diteruskan oleh siapa juga yang dipilih oleh pucuk pimpinan untuk menjadi calon pada PRK nanti.

“Sekali lagi saya mengharapkan agar anak-anak dalam Dun Chini, pengundi-pengundi terus memberikan sokongan yang padu dalam Muafakat demi kestabilan dan mudah-mudahan kita akan berjaya dengan cemerlang pada 4 hari bulan nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.