PRK Chini : Sokong Saranan MB Pahang, Namun UMNO Tetap Siapsiaga – Shahril
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata pihaknya menyambut baik saranan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar semua pihak baik parti politik mahu pun calon Bebas agar memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk menang tanpa bertanding pada PRK DUN Chini nanti.
Namun menurut beliau sama ada saranan itu dapat direalisasikan atau tidak hanya akan diketahui pada tarikh penamaan calon yang akan diadakan pada 20 Jun ini.
“Pada tarikh tersebut kita akan mendapat tahu sama ada calon BN yang akan mempertahankan kawasan yang dimenangi pada PRU 14 yang lalu bakal dicabar atau sebaliknya.
“Apa pun keputusannya pada 20 Jun itu nanti kita ingin tegaskan bahawa sama ada PRK DUN Chini akan ada pertandingan atau tidak, jentera kita di semua peringkat tetap bersiap saga. Kita akan terus bersiap saga dan melakukan apa jua persedian awal yang diperlukan kerana dalam politik ini apa jua kemungkinan boleh berlaku.
“Dalam kata mudah PRK Chini ini bagi kita .. datang tidak berjemput, pergi tidak dihalang… kita akan sentiasa terus bersedia sedia,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Kata beliau lagi saranan untuk semua pihak agar memberi laluan kepada calon BN untuk menang tanpa bertanding bukanlah sama sekali bermakna kita cuba menafikan sistem demokrasi di negara ini tetapi berdasarkan beberapa faktor terkini yang seharusnya semua pihak sepatutnya memberi fokus kepada yang lebih utama seperti penularan wabak pandemik COVID 19 dan pemulihan semula ekonomi negara.
“Pada masa yang sama kita turut menyambut baik keputusan yang dibuat PKR hari ini yang mewakili Pakatan Harapan bahawa mereka tidak akan meletakkan calon mereka untuk bertanding pada PRK DUN Chini,” ujarnya.- UMNO Online