PRK Chini: ‘PH Tidak Ada Harapan’ – Pemuda UMNO Pahang
KUANTAN, 6 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata tidak pelik seandainya Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kerana mereka hanya sekadar mengambil peluang membangkitkan isu-isu yang sudah lapuk sepanjang kempen kelak.
Katanya, setelah PH kalah di kelima-lima PRK sebelum ini mereka seumpama tiada haluan dan tidak bersefahaman sesama sendiri.
“Kita menang lima PRK walaupun pada masa itu kita adalah pembangkang menentang PH dan hari ini saya melihat PH ibarat ’singa yang cedera’. Mereka (PH) mungkin mengambil kesempatan PRK ini untuk membangkitkan isu-isu yang tidak relevan dengan masyarakat Chini.. .peluang ini mungkin mereka akan gunakan untuk membangkitkan isu-isu nasional dan sebagainya.
“Pemuda BN khususnya di negeri Pahang ini telah ambil kira dari segi statistik… memang kedudukan PH di Chini seperti ‘tak ada harapan, PH yang tidak punya harapan,” katanya kepada UMNO-Online ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Farid lagi, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PH hanya mampu berjaya memperolehi seribu lebih undi dan Pemuda UMNO percaya pengundi di DUN Chini masih lagi bersama dengan Barisan Nasional (BN) khususnya orang muda.
Sementara itu Farid juga memberitahu walaupun PRK masih jauh namun pihaknya telah menyelesaikan beberapa perkara khusus di kalangan jentera Pemuda UMNO Pahang.
“Kita telah berjaya menyelesaikan perkara-perkara asas seperti pembentukan dan jawatankuasa di peringkat Pemuda dan kita juga telah mengenal pasti beberapa isu selain turut merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) sendiri untuk menghadapi PRK kali ini.
‘Walaupun pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi belum mengeluarkan SOP mereka tetapi kita telah ambil tindakan awal mengambil kira SOP yang telah sedia ada sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
“Insya-Allah… kita akan menghadapi kempen ini dengan lebih sederhana tetapi dalam pada masa yang sama tidak mengabaikan semua elemen-elemen yang menjadi tugas Pemuda selamanya,” tegasnya. – UMNO Online