PENJANA Bersifat ‘People Centric’, Tepat Pada Masanya – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bersifat ‘People Centric’,

Apatah lagi kata beliau ketika negara sedang berhadapan dengan kadar pengganguran yang dijangka meningkat kepada 5.5% sehingga akhir tahun 2020 dan ramalan ini membawa makna seramai lebih 800 ribu rakyat Malaysia tidak mempunyai pekerjaan.

Menurut beliau Bank Negara Malaysia (BNM) mengklasifikasikan 75% tenaga kerja di Malaysia sebagai anggota kumpulan paling mudah terjejas apabila negara dilanda krisis ekonomi malah menurut Azlan Awang, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berdasarkan kajian kira-kira 50% isi rumah di Malaysia masih hidup di bawah kadar upah minimum.

“Saya tertarik dengan tiga insentif yang diumumkan semalam bagi membantu rakyat, pekerjaan mereka dan majikan seperti perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Pakej PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan yang telah dilaksanakan selama 3 bulan telah menyelamatkan 2.2 juta pekerjaan.

“Saya percaya, program ini juga mampu menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia dari hilang pekerjaan sepanjang tempoh lanjutan. Keduanya program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Lebih-lebih lagi apabila inisiatif ini mempunyai peruntukan khusus untuk kumpulan berumur 40 ke atas dan OKU.

“Begitu juga insentif peningkatan kemahiran untuk pengganggur dan kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan, dan peruntukan RM2 bilion bagi pelaksanaan kursus jangka pendek,” katanya menerusi catatan di facebook.

Ahmad Zahid seterusnya mengharapkan agar kerajaan agar kekal fokus dalam melaksanakan pelan yang telah diumumkan petang semalam termasuklah karenah birokrasi dapat diminimakan bagi memastikan bantuan dan insentif yang diumumkan oleh kerajaan sampai dan dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

“Tiada guna jika insentif bagus, tapi rakyat sukar untuk mendapatkannya. Semoga segala usaha murni kerajaan membantu rakyat dipermudahkan dan negara kekal sejahtera dalam mengharungi pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.