UMNO Ucap Tahniah Kepada Tun Mohd Ali, Yang Di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh


KUALA LUMPUR, 5 Jun – UMNO mengucapkan tahniah kepada Tun Mohd Ali Mohd Rustam di atas pelantikan sebagai Yang Di-Pertua Negeri Melaka yang Ketujuh, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO mendoakan semoga Allah SWT melimpahkan rahmat dan memberkati Kerajaan Negeri Melaka dan penduduknya,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga, UMNO mengucapkan terima kasih kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka Keenam, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di atas segala jasa dan khidmat bakti selama 16 tahun.

Semalam di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Mohd Ali.

Pelantikan bekas Ketua Menteri Melaka itu berkuat kuasa semalam sehingga tempoh empat tahun bagi menggantikan Tun Dr Mohd Khalil yang tamat tempoh perkhidmatan pada hari yang sama.

Selepas istiadat pengurniaan watikah itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Mohd Ali.

Mohd Ali, 70, anak jati Bukit Katil, pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka dari 1999 hingga 2013. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.