PRK Ketika PKP: Chini Lakar Lagenda Tersendiri, Mungkin Jadi ‘Template’ PRU15 – Shabery

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi ‘template’ (acuan) kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang pada pandangannya berkemungkinan akan berlaku tidak lama lagi.

Katanya, PRK tersebut akan melakarkan lagenda yang tersendiri sebagaimana kisah tasiknya.

“PIlihan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan dan pandemik belum betul-betul reda.

“Namun ia penting. Prosedur Operasi Standard (S.O.P) cara berkempen dan cara mengundi akan diuji,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Shabery lagi, disebabkan itu, nama Chini akan dingati oleh umum sampai bila-bila.

Untuk rekod, ekoran penularan COVID-19 di dalam negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengekangnya telah menguatkuasa PKP sejak 18 Mac lalu.

Kerajaan PN juga kini berdepan dengan beberapa isu politik nasional disebabkan jumlah majoriti di Dewan Rakyat yang sangat nipis berbanding Pakatan Harapan (PH) akibat kecelaruan politik yang ditimbulkan oleh PH.

Sebagaimana maklum juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 15 Mei lalu menetapkan PRK DUN Chini diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

SPR juga mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.

Pada PRU ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi, menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.