Pemuda UMNO Sabah Bidas Kenyataan Pemimpin Warisan Berbaur Hasutan

KOTA KINABALU, 5 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah menyelar kenyataan seorang pemimpin Parti Warisan Sabah, Datuk Ismaily Bongsu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan untuk membenci dan tidak setia kepada raja.

Kata Ketuanya, Ir Abdul Aziz Julkarnain, amat jelas dan terang kenyataan yang dikeluarkan Ismaily itu salah di sisi undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 Seksyen 3(1)(a), (b), dan (d) serta Kanun Keseksaan Seksyen 121c.

“Kenyataan tersebut sangat tidak bertanggungjawab apatah lagi kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah dan juga sebagai seorang pemimpin berpengaruh dalam Parti Warisan Sabah ini mampu untuk mempengaruhi pengikut-pengikutnya dan jabatan-jabatan kerajaan di bawah seliaannya untuk menjatuhkan institusi beraja dan menjadikan negara ini sebagai negara republik,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ir Aziz berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ismaily yang sedang tular di media sosial, yang berbunyi; “RAJA berpelembagaan kena fahami. Raja bukan maksum bukan TUHAN. Banyak kerajaan ada raja jatuh kesan rakyat bosan dan akhir kerajaan jadi republik. Indonesia, Filifina dan banyak lagi.”

Justeru itu, Ir Aziz menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang sayangkan raja dan negara ini agar membuat laporan polis beramai-ramai agar tindakan mengekang anasir-anasir khianat dapat dibuat dengan pantas.

“Abang-abang polis juga harus bantu kami semua untuk membendung cubaan-cubaan seperti ini dengan secepat mungkin.

“Buat sementara waktu bolehlah guna peruntukan undang-undang seperti dalam Seksyen 11 Akta Hasutan 1948 iaitu dengan menangkapnya tanpa waran agar anasir-anasir khianat dan bersifat subversif ini dapat dihentikan dengan tuntas dan tidak berulang lagi,” tambahnya lagi.

Seterusnya, Ir Aziz menyeru rakyat meyakini bahawa Institusi Beraja di negara ini adalah satu simbol dan lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

“Mereka adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik.

“Saya sayang Malaysia dan saya sayang raja,” katanya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit