Ekonomi Malaysia Perlu Strategi Yang Berani, Berdaya Tahan Dan Daya Saing Tinggi – Onn Hafiz

SIMPANG RENGGAM, 5 Jun – Ekonomi Malaysia perlu mempunyai strategi yang berani, berdaya tahan dan daya saing tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap pelan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 yang akan diumumkan sebentar lagi dapat merancakkan kembali ekonomi khususnya bagi sektor pelancongan, antara sektor yang paling terjejas dan pakej bantuan untuk anak-anak muda yang terkesan akibat pandemik COVID19.

“Tempoh beberapa bulan yang akan datang ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara.

“’Trend’ pengangguran terus meningkat di seluruh dunia. Bantuan Prihatin, modal niaga dan peluang kemahiran wajar diberikan dan diteruskan kepada mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

“Lebih cepat ekonomi dipulihkan, lebih cepat kadar pengangguran di Malaysia dikawal dan diturunkan,” jelasnya.

Onn yang juga Exco Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pelbagai isentif dan tawaran ‘luar biasa’ boleh diberikan oleh pemain industri dan kerajaan bagi merancakkan sektor Pelancongan Domestik selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Kempen nasional perlu dilancarkan bagi menggalakkan rakyat turut menyumbang dan membantu memulihkan sektor yang selama ini menjadi penyumbang kepada ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Di samping itu katanya, terdapat beberapa cadangan-cadangan yang telah pun diutarakannya kepada Timbalan Menteri kewangan, Mohd Shahar Abdullah semasa sesi perbincangan yang lepas.

“Antara perkara yang dibincangkan adalah seperti pengurangan cukai kepada hotel-hotel dan syarikat-syarikat pelancongan, melanjutkan bantuan moratorium untuk pekerja dan majikan, bantuan tambahan kepada pemandu-pemandu pelancong dan teksi serta bantuan khas kepada pengiat-pengiat seni dan kebudayaan.

“Latihan dan bantuan khas untuk anak-anak mempergiatkan diri dalam gig ekonomi, ekonomi digital serta e-dagang dan bantuan khas kepada anak-anak muda terutamanya ibu-ibu tunggal muda yang tidak dapat bekerja atau hilang pekerjaan semasa tempoh PKP,” katanya.

Onn juga percaya dengan keprihatinan kerajaan serta kerjasama swasta dan rakyat, Malaysia mampu bangkit mendepani cabaran ekonomi pasca COVID19 dan mampu melalui fasa getir yang belum pernah negara alami ini jauh lebih baik berbanding negara lain.

“Sama-sama kita berdoa supaya Perdana Menteri mengumumkan pelan pemulihan terbaik untuk ekonomi negara,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.