Terima Kasih Annuar Musa… Penantian 35 Tahun Lesen Berniaga Berakhir

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Terima kasih Tan Sri Annuar Musa, penantian 35 tahun untuk mendapat lesen berniaga akhirnya berakhir.

Setelah lima orang bertukar datuk bandar akhirnya impian Minah Awang untuk berniaga secara sah tercapai apabila menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diserahkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Annuar Musa mengambil keputusan untuk menyerahkan sendiri Lesen Penjaja Beredar itu kepada Minah yang turut dikenali sebagai Che Nah di lokasi dia berniaga di Bukit Damansara di sini.

“Sejak 35 tahun lalu, saya sering turun naik ke pejabat DBKL untuk memohon lesen penjaja.

“Malah sudah lima orang Datuk Bandar silih berganti, namun alasan yang dinyatakan adalah permohonan lesen tersebut dibekukan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh portal berita, Wilayahku.

Terkejut dengan perkhabaran gembira itu, Che Nah sujud syukur selepas penantian 35 tahun menjadi kenyataan.

Menjual pelbagai variasi makanan asli Pantai Timur seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi lemak dan aneka kuih-muih, Che Nah menyifatkan pemberian lesen perniagaan itu sebagai hadiah yang berharga.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar kerana mempermudahkan urusan permohonan lesen ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya menerusi DBKL akan mempermudahkan proses permohonan penjaja bergerak termasuk perniagaan yang diusahakan golongan belia.

“Kita mulakan dengan cara yang baharu. Dalam masa sedikit lagi, saya nak jumpa belia, orang muda muda termasuk Cina dan India.

“Seperti di Little India di Brickfields, kita benarkan buka kiosk di laluan jalan kaki tapi susun elok-elok. Saya nak orang muda yang sanggup meniaga, ambil contoh Che Nah, yang sanggup bawa kereta sendiri, masak, menjual. Kenapa tidak orang lain ambil cabaran ini. Jadikan Kuala Lumpur sebagai tempat ambil rezeki,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.