Setuju Titah Sultan Johor, Serah Mandat Kepada Rakyat Jika Terus Berebut Kuasa – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pemuda UMNO menyokong Tuanku Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika sketsa perebutan kuasa dan insiden ugut-mengugut dikalangan wakil-wakil rakyat berterusan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, begitu jugalah senario di peringkat Persekutuan.

“Jika masih berterusan karenah ugut-mengugut untuk meletakkan jawatan kabinet dan mencetuskan ketidak-puasan hati kepada kerajaan walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, maka jalan terbaik serah kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk kebajikan mereka berbanding kepentingan perebutan jawatan dan pangkat yang tiada penghujung hingga boleh menyusahkan rakyat dan membobrokkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memberi amaran akan membubarkan DUN serta-merta jika berlaku lagi perebutan kuasa antara wakil rakyat negeri ini.

Baginda juga menzahirkan kekecewaan ekoran masih berlaku kemelut politik yang menyaksikan terdapat pemimpin gila kuasa dan terus mahu merebut jawatan demi kepentingan diri mereka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.