PH Johor Tunjuk Belang Sebenar, Ingkar Titah Tuanku

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai pemimpin yang sombong, ingkar dan mempersendakan titah DYMM Sultan Johor.

Fikri Allaudin dari Persatuan Pemikir Muda Johor berkata, wajah-wajah pemimpin PH dan wakil-wakil rakyat ‘katak’ yang menyebabkan potensi Johor menjadi negeri maju dan makmur tersekat, wajar menjadi ingatan kepada semua pengundi untuk menghukum mereka di semua peti undi.

“Sikap PH Johor ini membuktikan bahawa memang wujud gerakan untuk memecahbelahkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Johor.

“Malah usaha ini tidak akan terhenti dan akan diteruskan sehingga keinginan mereka ini untuk kembali mendakap kuasa dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dilaporkan, hari ini melalui satu kenyataan Sultan Johor menyeru semua ahli politik di negeri itu menghentikan pergeseran politik dan menumpukan usaha berkhidmat kepada rakyat.

Ujar Fikri, jika segala usaha untuk memperbetulkan permasalahan ahli-ahli politik Johor tidak berhasil maka langkah terakhir baginda ialah melalui pembubaran DUN Johor untuk rakyat Johor memilih semula wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Malangnya teguran keras baginda ini langsung tidak diendahkan sebaliknya ia merupakan satu ‘turning point’ yang ditunggu-tunggu oleh mereka untuk meminta PRN segera diadakan kononnya untuk mengembalikan mandat rakyat kepada PH.

“Jika pada hemat dan kearifan baginda, membubarkan DUN ialah jalan terbaik untuk meleraikan segala kekusutan ini, maka pastinya ia peluang yang akan digunakan oleh rakyat Johor untuk memperbetulkan semula keadaan.”

Tegasnya lagi, PH Johor akan ditunjukkan jalan keluar supaya tiada lagi saki-baki perosak pemikiran dan pemecah-belah muafakat dalam kalangan rakyat Johor. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.