Pengundi DUN Chini Bijak Nilai Antara Kaca Dan Permata – Nizar Najib
KUANTAN, 3 Jun – Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini cukup bijak membuat penilaian antara kaca dan permata untuk memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan Jun depan
Malah beliau cukup percaya pengundi di kawasan itu juga sudah pasti akan melihat kepada apa yang berlaku sebelum ini sekiranya Pakatan Harapan (PH) turut bersedia untuk meletakkan calonnya.
“Barisan Nasional (BN) yang telah menyatakan kesediaanya untuk meletakkan calon sudah pasti akan menerima pelbagai serangan termasuklah kempen berbentuk serangan peribadi serta pembentukan kerajaan hari ini dan sebagainya lagi.
“Kita percaya pengundi boleh menilai yang mana kaca dan permata kerana mereka pun tahu walaupun kerajaan hari ini terbentuk tergesa- gesa sebelum ini ianya dapat selamatkan negara daripada krisis politik yang tidak habis-habis ketika PH memerintah dan jika tidak ada kerajaan efektif mana mungkin kita boleh tangani COVID-19 secara efektif.
“Malah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan telah diiktiraf. Kerajaan sebelum ini tidak nampak untuk menangani isu-isu rakyat sebaliknya lebih berminat bergaduh sesama sendiri dan tidak ada agenda pembangunan ekonomi dan memahami denyut nadi rakyat yang susah termasuklah menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan seperti COVID-19,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Nizar seterusnya percaya jika kempen mereka kelak berbentuk serangan peribadi dan sebagainya lagi ianya tidak akan diterima oleh pengundi kerana mereka sendiri pernah mengalami bagaimana keadaan sebenarnya di bawah PH sebelum ini.
“Saya berharap pisang tidak berbuah dua kali dan saya yakin mereka bijak menilai dan dapat buat perbandingan sendiri antara kedua kerajaan ini yang mana lebih serius dan yang mana lebih berkesan dalam menjuarai isu rakyat, membela dan membantu rakyat,” ujarnya.
Mengenai kesiapsiagaan Pemuda UMNO Pekan, beliau memberitahu persiapan ke arah PRK sedang berjalan cuma ianya cukup mencabar kerana negara hari ini berdepan dengan wabak pandemik COVID-19.
“Dengan gejala COVID-19… jadi persiapan mencabar sedikit kerana kita tidak boleh berkumpul dalam kumpulan yang besar dan sebagainya lagi dan berdasarkan apa yang digariskan oleh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam konteks asas.
“Berdasarkan sejarah kita tidak boleh anggap menang dengan mudah dan atas kertas walaupun agak selesa tetapi jentera tidak boleh selesa dan ambil mudah. Kita akan terus bekerja seperti biasa dan akan mempertahankan kemenangan BN di Chini,” tambahnya.
Kerusi DUN berkenaan kosong susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon pada 20 Jun manakala pengundian awal pula adalah pada 30 Jun.
Pada PRU-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi. – UMNO Online