Zahid Berharap Pendidikan Tahfiz Diteruskan, Dilaksana Semula Selepas Tertangguh 22 Bulan

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan harapan agar pendidikan tahfiz di semua peringkat yang sebelum ini tertangguh selama 22 bulan ekoran peralihan kerajaan Persekutuan akan kembali dilaksana dan diteruskan.

Katanya, beliau sendiri akan membawa isu tersebut kepada Perdana Menteri dalam pertemuan nanti.

“Insya Allah … saya percaya pada diri saya dan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri akan dibawa isu ini… mudah-mudahan kerajaan yang ada sekarang ini bukannya hanya dapat meneliti semula dasar pendidikan tahfiz ini, tapi dapat melaksanakannya.

“Saya faham bahawa JAKIM sebagai badan penyelaras pada dasar ini harus mengadakan perundingan dengan Majlis Agam Islam negeri-negeri, Jabatan Islam Negeri-negeri dan bahagian pendidikan tahfiz di Jabatan Islam negeri-negeri dan insya Allah…saya akan pastikan supaya apa yang tertangguh selama 22 bulan ini akan dilaksanakan semula,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam Segmen Hello…Hello Presiden UMNO Malaysia bersama Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan, Ustaz Mohd Zahid Mahmood.

Ahmad Zahid turut menyorot cadangan dalam kerajaan BN terdahulu menerusi ‘Transformasi Nasional’ (TN50) untuk mewujudkan sebanyak 125 ribu huffaz negara.

“Ketika itu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah mengeluarkan satu cadangan dan ia merupakan satu urusan kerajaan untuk mewujudkan seramai 125 ribu huffaz yang selain daripada mereka itu adalah merupakan Hafiz Al-Quran dan mereka juga adalah ahli-ahli profesional, jadi bagaimana pandangan ustaz tentang ‘tasawur’ wawasan ini.”

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yakin pembekuan wang Yayasan Akal Budi akan dapat dicairkan semula dan akan memulakan program pembinaan mahaad tahfiz yang tergendala di Bagan Datuk.

“Sebenarnya… saya melalui Yayasan Akal Budi telah membeli 40 ekar tanah di Bagan Datuk dan kerja-kerja tanah telah hampir selesai manakala ‘design’ atau reka bentuk seluruh bangunan telah dikemukakan pada pihak tempatan.

“Malang sekali… wang dalam Yayasan Akal Budi telah dibekukan apabila saya diheret ke mahkamah walaupun saya telah berniat… tetapi apabila wang itu telah dibekukan dan niat itu tertangguh.

“Ini kehendak Allah Taala tetapi insya-Allah jika pembekuan dapat dicairkan nanti jadi hasrat untuk mengumpulkan huffaz bagi yang hafaz 30 juzuk Al-Quran tetapi tidak mempunyai SPM sebagai prasyarat untuk masuk ke Institusi Pengajian Tinggi akan saya lakukan,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga berharap institusi mahkamah dan badan-badan yang telah mengenakan tindakan perundangan atas tujuan mengaibkan beliau oleh pihak tertentu sebelum ini akan dapat diselesaikan.

“Insya-Allah… dananya telah ada, tanah telah ada, reka bentuk telah ada cuma pembinaannya akan dilakukan dan insya-Allah saya akan memulakan semula.

“Jadi…oleh kerana anak-anak tahfiz yang huffaz ramai di seluruh negara saya mohon dalam rancangan ini doakan pembekuan wang Yayasan Akal Budi dapat dicairkan semula dan akan memulakan program yang dirancang,” tegasnya.

Dalam hal ini, beliau mendapat sokongan Ustaz Mohd Zahid dengan sama-sama berkongsi harapan untuk kembali membangunan sekolah-sekolah tahfiz yang telah dikenakan tindakan sebelum ini. – UMNO Online