Tergamak PH Bincang Calon PM, Lebih Baik Fikir Hala Tuju Rakyat Selepas COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan isu yang dibangkitkan oleh Pakatan Harapan (PH) ekoran membincangkan calon Perdana Menteri.

Katanya, sewajarnya PH harus memberi pandangan mengenai hala tuju kehidupan rakyat masa kini dan juga pasca COVID- 19.

“Apakah wajar membincangkan isu calon Perdana Menteri baharu ketika rakyat makin dihimpit kesusahan, resah mengenangkan hala-tuju kehidupan saat dan pasca COVID-19, lantaran hilang punca pendapatan akibat ditamatkan jawatan dan kontrak pekerjaan?

“Tergamakkah kepimpinan PH membincangkan isu calon PM ke-9 ketika nasib ribuan peniaga-peniaga di persimpangan getir bukan sahaja kerana tidak dapat beroperasi sebagaimana kelaziman biasa tetapi jualanpun terjejas teruk kerana kuasa berbelanja rakyat makin terbatas?” katanya dalam catatan Facebook, hari ini.

Dilaporkan, timbul spekulasi mengatakan PH dan sekutunya telah memperoleh sokongan 129 anggota Parlimen untuk merebut kembali Putrajaya dan menidakkan kerajaan Perikatan Nasional hari ini dengan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi pemimpin utama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.