Duduk Di Rumah Sepanjang PKP Antara Punca Bil Elektrik Meningkat – Mahdzir

SHAH ALAM, 2 Jun – Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan punca peningkatan bil elektrik di kawasan kediaman adalah kerana kebanyakan rakyat Malaysia berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, katanya, ada segelintir yang balik ke kampung semasa cuti sekolah menyebabkan berlakunya pula peningkatan penggunaan elektrik rumah di kampung masing-masing.

“Ada sebahagian pengguna kediaman kami yang agak terkejut apabila menerima bil sebenar mereka yang lebih tinggi dari kebiasaan. Secara amnya sepanjang tempoh PKP, iaitu kira-kita tiga bulan sejak 18 Mac lalu, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman telah meningkat antara 20 hingga 50 peratus,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kedai Tenaga di sini bagi melawat operasi Kedai Tenaga yang beroperasi semula.hari ini.

Ujar Mahdzir TNB telah membuat penyelarasan bil dengan kaedah prorata yang disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga demi memastikan pengguna tidak terlebih caj.

“Ia juga berdasarkan penggunaan sebenar elektrik setiap bulan kerana bil sebenar yang diberikan akan dibahagi sama rata untuk jumlah bulan tempoh PKP. Penggunaan bulanan inilah yang didarabkan dengan kadar blok tarif bagi setiap bulan.”

Kata Mahdzir, berdasarkan data, tujuan pelanggan mengunjung Kedai Tenaga bukan kerana bil tinggi serta pelarasan bil, sebaliknya berkenaan perkhidmatan dan mendapatkan salinan.

“Majoriti mereka atau 42 peratus pelanggan yang datang adalah untuk mendapatkan salinan bil manakala 58 peratus lagi adalah berkaitan hal-hal perkhidmatan TNB seperti pembayaran bil, menutup akaun, pertanyaan tentang bil serta pelarasan dan hal-hal lain,” katanya.

Terangnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, pengguna yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai bil elektrik mereka untuk berhubung terus kepada pegawai khidmat pelanggan TNB atau terus ke mana-mana Kedai Tenaga berhampiran.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Dilaporkan, premis di Shah Alam ini adalah salah satu dari 27 Kedai Tenaga di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan yang beroperasi semula hari ini bagi memudahkan pengguna mendapat maklumat secara bersemuka mengenai pelarasan bil elektrik mereka.

Pembukaan ini menjadikan sejumlah 119 Kedai Tenaga dibuka semula selepas ditutup sementara susulan PKP. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.